Setaraf produk tempatan, 3 pemain import mungkin tak disedari penyokong Perak


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

Bezerra antara import Perak II yang gagal mendapat tempat dalam skuad utama The Bos Gaurus.

SUDAH menjadi lumrah dalam sukan bola sepak apabila pemain datang dan pergi.

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan meskipun pemain itu merupakan seorang legenda, di akhir kariernya pasti dia akan menggantung but selepas tidak lagi mampu meneruskan perjuangan sebagai bintang bola sepak.

Namun tidak pelik juga jika penyokong tidak mengingati kehadiran pemain dalam pasukan kerana tidak memberikan sumbangan besar buat kelab.

BACA LAGI: Pemain bola perlu jaga gaya hidup, jangan terlalu 'expose' di media sosial elak jadi mangsa jenayah — Shahul Hamid

BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan gunting Bellingham bikin seluar penyokong England terlondeh, meja snooker nyaris terbalik

Sebelum Perak FC diambil-alih oleh XOX Berhad pada 2022, pihak pengurusan terdahulu banyak mengambil pemain import daripada pelbagai negara.

Malah ada pemain import yang dilihat setaraf produk tempatan sekali gus tidak banyak memberikan sumbangan.

Majoriti senaraikan tiga pemain import yang mungkin tidak disedari oleh penyokong The Bos Gaurus:

1. Bruno Bezerra

Pada musim 2020, Mehmet Durakovic pernah membawa masuk seorang penyerang muda kelahiran Brazil iaitu Bruno Luiz Peres Bezerra.

Namun begitu, kemasukan Bezerra bukanlah untuk memperkuatkan skuad utama, tetapi dia banyak beraksi untuk Perak II.

Bezerra yang ketika ini beraksi di Liga Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai sentuhan bola, kawalan baik serta penyudah yang tajam.

Bezerra juga ada merekodkan jaringan bersama Perak II namun dia sukar untuk menembusi skuad utama pasukan Seladang.

2. Charlie Machell

Antara pemain import terbaik Liga Kemboja, Charlie Machell gagal meneruskan rentak kecemerlangannya bersama Perak FC pada 2021.

Machell yang merupakan graduan akademi Newcastle United itu tidak bertahan lama bersama The Bos Gaurus selepas hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Super.

Pemain berusia 29 tahun itu kini beraksi di Amerika Syarikat (AS) bersama Knoxville dalam liga divisyen ketiga AS.

Sejak meninggalkan Perak, prestasi Machell semakin meningkat apabila nilainya naik mencanak selepas beraksi di negara Uncle Sam itu.

3. Zoubairou Garba

Pemain kelahiran Cameroon yang mempunyai kerakyatan Indonesia pernah beraksi bersama Perak pada musim 2021.

Zoubairou Garba memilih Perak sebagai destinasi terakhir sebelum tidak mewakili mana-mana pasukan selepas meninggalkan The Bos Gaurus.

Bersama Perak, Garba hanya tampil dalam satu penampilan dan aksi debutnya menyaksikan The Bos Gaurus tewas dengan keputusan 0-5. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram