Kedudukan Syihan Hazmi tergugat? 'Hint' makin jelas JDT bakal diperkuat penjaga gol warisan Sepanyol


  • Podium
  • Rabu, 17 Jul 2024

Seorang penjaga gol warisan berdarah Sepanyol akan menyertai JDT menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dijangka melakukan rombakan besar-besaran selepas difahamkan enam pemain akan menyertai Harimau Selatan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada Ogos nanti.

Walaupun skuad kendalian Hector Bidoglio masih mengekalkan rekod bersih dengan mencatatkan 100 peratus kemenangan dalam semua aksi musim ini, JDT seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Harimau Selatan selepas mahu melakukan rombakan besar-besaran untuk membawa masuk muka baharu.

Sebelum ini, pemerhati bebas bola sepak Malaysia, Juan Budiman memaklumkan mengenai beberapa perpindahan melibatkan JDT.

BACA LAGI: 'Bahaya dimaksudkan KPG mungkin tentang bakat baharu Harimau Malaya'

BACA LAGI: Dengarnya 6 pemain baharu sudah lapor diri, ada bintang JDT tunggu masa ditunjukkan jalan keluar menjelang Ogos

“JDT bakal buat rombakan pemain pada jendela perpindahan Ogos ini.

"Enam pemain telah dikenal pasti dan sudah ada yang lapor diri di Padang Seri Gelam," ciapnya dalam X.

Antara bayangan awal yang dimaklumkan oleh Juan Budiman melibatkan pemain import kelahiran Korea Selatan, dua pemain Sepanyol, seorang pemain Colombia dan seorang pemain Argentina.

Perpindahan seorang pemain tempatan juga dijangka mewarnai jendela kedua pada bulan Ogos ini.

Namun sekali lagi, Juan Budiman mendedahkan secara lebih terperinci pemain Sepanyol yang bakal menyertai JDT ialah seorang penjaga gol berdarah warisan negara ini.

"Selepas Natxo dan Kiko Insa, jentera pertahanan JDT bakal diperkuatkan dengan seorang lagi pemain warisan berdarah Sepanyol.

"Difahamkan penjaga gol muda ini adalah seorang pemegang pasport Malaysia dan sudah mendarat di selatan tanah air.

Ia sekali gus memberikan gambaran bahawa JDT akan melakukan rombakan penuh di barisan pertahanan selepas Harimau Selatan dibolosi tiga jaringan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super.

Menjadi persoalan adakah kedudukan Syihan Hazmi sebagai penjaga gol utama JDT bakal terancam dengan kemasukan penjaga gol warisan itu?

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemangku Sultan Johor memaklumkan akan ada perkara beberapa perubahan besar di JDT.

"Selamat malam keluarga JDT. Banyak pembaharuan setiap aspek akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan ini," ujar Tunku Ismail yang mesra dengan gelaran TMJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram