Sasaran Piala Asean: Bergantung JDT dan Selangor — Hamidin Mohd Amin


  • Podium
  • Jumaat, 24 Mei 2024

Haqimi Azim (tiga dari kiri) dan Norhakim Hassan (paling kanan) antara pemain Malaysia beraksi di Piala Asean 2022. — FAM

MALAYSIA akan sekali lagi memburu gelaran raja bola sepak Asia Tenggara apabila mereka menyertai Piala Asean (sebelum ini Piala AFF) pada akhir tahun ini.

Diundi dalam kumpulan A bersama-sama Thailand, Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste, kejohanan ini ibarat Piala Dunia bagi penyokong bola sepak di rantau ini.

Dengan hanya pernah bergelar juara sekali saja pada 2010, sudah pasti Malaysia mahu menjuarainya sekali lagi bagi menambah koleksi trofi kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Akaun palsu, 'troll' kena berhenti sebar kebencian terhadap pemain, tegas Presiden FAM

BACA LAGI: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik jadi sandaran utama Malaysia raih emas di Sukan Olimpik

20240507111740_0R1A9430

Jika dapat kumpulkan semua pemain utama, Hamidin mahu Malaysia juarai Piala Asean. — FAM

Dan itulah hajat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai peluang negara di Piala Asean. Secara peribadi, dia mahu menyasarkan Malaysia bergelar juara.

Namun begitu, sasaran tersebut mungkin sukar dicapai jika kelab seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC tidak melepaskan pemain untuk kejohanan itu atas faktor ia diadakan luar kalendar FIFA.

Ditambah pula, kedua-dua kelab mempunyai komitmen beraksi di pentas Asia dengan JDT beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) manakala Selangor menyertai Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

"Sasaran untuk tahun ini kita tak dapat tahu lagi, kerana JDT dan Selangor tak dapat main (lepaskan pemain) kerana mereka beraksi di ACLE dan ACL2. Perkara ini sama terjadi ketika edisi 2022.

"Maksudnya di sini, kita kena realistik dalam situasi ini. Saya kena berbincang dengan Kim Pan-gon untuk tentukan sasaran Malaysia di kejohanan ini," kata Hamidin secara eksklusif kepada Majoriti.

Sebagai rekod, pada Piala Asean edisi 2022, Malaysia beraksi tanpa beberapa pemain utama terutamanya dari kem JDT hingga Pan-gon perlu memanggil nama-nama lain untuk beraksi.

Walaupun ketika itu Malaysia dianggap membawa pasukan 'B', tetapi Harimau Malaya berjaya mara hingga ke separuh akhir sebelum kalah kepada Thailand.

"Tapi kalau Malaysia dapat kumpulkan semua pemain, memang saya akan letak sasaran untuk mara ke perlawanan akhir atau jadi juara.

"Tapi kalau tidak, macam mana? Dengan tak ada pemain tertentu. Oleh itu saya mesti kena bincang dengan Kim Pan-gon dulu berkenaan ini," ujar Hamidin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram