SEBAIK saja Kim Pan-gon meletakkan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya, timbul persoalan mengenai siapakah penggantinya?
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk bermula dengan fresh dan mendapatkan pengendali dari Asia, Eropah atau Amerika Selatan.
Siapakah agaknya yang sesuai untuk dirisik oleh FAM jika melihat kepada tiga benua tersebut? Analisis ringkas Majoriti merungkai tiga watak bersesuai dengan ciri-ciri tersebut.
BACA LAGI: Jurulatih 'fresh' dari 3 benua antara cadangan TMJ gantikan Kim Pan-gon
Park Hang-seo
Satu nama yang tidak asing dalam bola sepak Asia Tenggara, Park Hang-seo merupakan seorang jurulatih yang terkenal dengan corak permainan keras serta perang saraf tahap tinggi.
Sering menewaskan Malaysia ketika bersama Vietnam, jika FAM mahu mendapatkan pengendali berdarah Asia maka dia adalah orang. Hang-seo merupakan seorang juara, dan dia boleh membuatkan Malaysia menjadi johan.
Park Hang-seo sering menjadi mimpi ngeri buat Malaysia ketika melatih Vietnam. — Agensi
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui pernah cuba mendapatkan Hang-seo sebelum melantik Pan-gon. Mungkin, mereka boleh bermula sekali lagi untuk mendapatkannya.
Hang-seo juga pernah menzahirkan minat terhadap Malaysia. Jadi, apa tunggu lagi FAM?
Petar Sergt
Jika perisa Eropah yang ingin dituju oleh FAM. Maka Petar Sergt adalah orangnya. Masihkah anda ingat dengan pengendali yang dianggap box office ini?
Kredibiliti Sergt menjadi duri dalam daging buat Malaysia sewaktu dia mengendalikan Tajikistan. Dua kali berdepan negara Asia Tengah itu di perlawanan akhir Piala Raja Thai dan Pestabola Merdeka, kepintaran Sergt berjaya memerangkap Harimau Malaya.
Malaysia kalah dua perlawanan akhir berdepan Tajikistan kendalian Sergt. — The Star/MUHAMAD SHAHRIL ROSLI
Sergt mempunyai perwatakan yang disenangi oleh penyokong dan media serta cukup bertenaga dalam menggerakkan pasukannya. Tambahan pula, dia turut memahami bola sepak Asia Tenggara sama seperti Hang-seo dek kerana pengalamannya di Indonesia sebelum ini.
Jurulatih dari Croatia ini mempunyai kualiti untuk meneruskan legasi Pan-gon. Jika FAM mahukan pengendali Eropah, maka dialah orangnya.
Esteban Solari
Satu lagi cadangan TMJ adalah untuk mendapatkan pengendali daripada Amerika Selatan. Sebagai rekod, Harimau Malaya belum pernah dilatih oleh mana-mana pengendali dari benua tersebut.
Untuk rekod, selain anak tempatan, Malaysia pernah dilatih oleh warga Asia, Eropah serta Afrika iaitu Hatem Souisi dari Tunisia.
Solari pernah bersama JDT selama semusim. — Agensi
Calon yang sesuai dari benua ini pastinya Esteban Solari. Jurulatih dari Argetina ini mempunyai kualiti tersendiri sebagai pengendali dan ia terserlah apabila mengendalikan JDT selama semusim.
Nama Solari pastinya menerima 'lampu hijau' daripada TMJ kerana hasil kerja pernah diberikan pengendali tersebut. Jika Harimau Malaya mendapatkan khidmatnya pasti skuad kebangsaan boleh meningkat dari segi prestasi.
Ketiga-tiga nama ini mempunyai kualiti tersendiri dari segi taktikal dan pembawakan diri dalam pasukan. Terpulang kepada FAM untuk menilai dan melantik siapakah yang terbaik untuk Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram