[VIDEO] Bukan Pan-gon seorang, ini 3 coach Liga M pernah tiba-tiba letak jawatan lepas raih sukses


  • Podium
  • Rabu, 17 Jul 2024

Pan-gon (tengah) secara rasmi meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Selasa. — Facebook/FAM

SELEPAS tiga tahun membimbing skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akhirnya memilih untuk meninggalkan jawatannya dengan keputusan itu amat mengejutkan.

Manakan tidak, dia sebelum ini mendedahkan bahawa tempoh kejurulatihannya bersama Harimau Malaya adalah cukup berharga selepas mendapat sokongan tidak pernah putus daripada pelbagai pihak.

Selain itu, tempoh kejurulatihannya adalah cukup membanggakan memandangkan jurulatih tersebut pernah membawa skuad kebangsaan ke Piala Asia 2023 dan memperbaiki kedudukan negara dalam ranking FIFA.

BACA LAGI: Apa yang Pan-gon maksudkan dengan bahaya? — TMJ

BACA LAGI: Lepas Pan-gon, Southgate pula buat kejutan tinggalkan England

Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai berasa terkejut dengan keputusannya untuk mengundur diri selepas hanya beberapa bulan lalu berhasrat untuk kekal lebih lama.

Namun, Pan-gon bukanlah jurulatih pertama yang berbuat demikian kerana beberapa tahun lalu, peminat bola sepak negara pernah menyaksikan senario sama berlaku.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang mengecapi kejayaan cukup membanggakan pada musim sebelumnya, namun berbuat demikian atas faktor tertentu.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tiga jurulatih yang meletakkan jawatan tidak lama selepas meraih pencapaian bermakna dalam karier masing-masing.

1. Esteban Solari (JDT)

Musim lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri apabila hanya mencatatkan satu keputusan seri sepanjang tahun di kesemua pertandingan peringkat domestik.

Pencapaian itu diraih hasil titik peluh pengendali, Esteban Solari yang membawa kepakaran dan pengalaman membimbing skuad muda Argentina.

Tetapi, pada penghujung musim, perkhabaran mengejutkan diterima pengikut setia JDT apabila jurulatih berusia 44 tahun itu secara tiba-tiba meletakkan jawatan.

326105632_591120402845003_6411714305243868943_n

Solari meninggalkan skuad Harimau Selatan selepas satu musim bersejarah. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Keputusan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan memandangkan skuad Harimau Selatan cukup sukar untuk dicabar dengan pelbagai rekod berjaya dipecahkan.

Jadi, untuk mengisi kekosongannya, pasukan Selatan tanah air berkenaan mengambil keputusan melantik Hector Bidoglio yang sebelumnya berkhidmat sebagai pengurus.

Pengunduran diri itu bagaimanapun tidak memberi sebarang impak terhadap karier kejurulatihan Solari yang kini bertugas sebagai pengurus di kelab Chile, Everton Vina del Mar.

Bagi JDT pula, kehilangan pengendali muda berkenaan tidaklah memberi kesan apabila mereka masih sukar dicabar dengan rekod 100 peratus masih dicatatkan setakat ini.

2. Tan Cheng Hoe (Selangor FC)

Selepas lapan tahun menanti peluang ke pentas Asia, Selangor FC akhirnya menamatkan penantian itu selepas berada di tangga kedua Liga Super 2023.

Sentuhan cukup bermakna daripada bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe merupakan kunci di sebalik pencapaian berkenaan dengan pendekatan diambilnya cukup sesuai buat kelab itu.

Kehadirannya turut dihargai penyokong skuad Gergasi Merah yang tidak pernah putus memberikan sokongan meskipun tewas beberapa kali sepanjang musim.

Cheng-Hoe-Selangor

Cheng Hoe menamatkan penantian skuad Gergasi Merah ke Asia. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, pada penghujung musim, Cheng Hoe secara tiba-tiba mengundur diri pada pertengahan jendela perpindahan ketika Selangor FC sedang sibuk melakukan persiapan.

Jurulatih berusia 56 tahun itu kemudiannya menyertai kelab Thailand, Police Tero FC dengan tindakan itu mencetuskan lebih banyak tanda tanya.

Manakan tidak, pasukan berkenaan ketika itu sedang berada di ambang penyingkiran berbanding Selangor FC yang sudah melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2.

Namun, jodohnya bersama Police Tero FC tidak berpanjangan selepas dia digugurkan pada penghujung musim selepas gagal mengekalkan mereka di liga teratas Thailand.

3. Irfan Bakti Abu Salim (Terengganu FC)

Sekiranya disebut nama Irfan Bakti Abu Salim, peminat bola sepak tempatan sudah tentu akan mengenali kelibat jurulatih yang amat berpengaruh itu.

Manakan tidak, sepanjang hampir 20 tahun terlibat dalam dunia kejurulatihan, dia pernah berkhidmat buat beberapa kelab tanah air seperti Selangor dan Felda United.

Namun, nama Irfan Bakti lebih sinonim dengan Terengganu FC memandangkan dia merupakan pengendali terakhir yang pernah membawa gelaran buat mereka.

irfbkti26apr.transformed

Irfan Bakti mempunyai sejarah tersendiri bersama skuad Sang Penyu.

Tetapi, sekiranya ditanya penyokong skuad Sang Penyu, pengendali itu pernah mencetuskan kejutan yang sukar dilupakan sehingga hari ini.

Ini selepas dia melepaskan jawatannya pada 2019 selepas membawa mereka ke pentas akhir Piala Malaysia pada tahun sebelumnya, namun tewas kepada skuad The Bos Gaurus (TBG).

Meskipun tidaklah membawa sebarang pencapaian signifikan, kejayaan diraih itu sudah cukup diingati penyokong dengan gaya permainan berkualiti diterapkannya.

Namun, hanya selepas beberapa minggu liga baharu bermula, Irfan Bakti mengambil keputusan mengundur diri dan kemudian digantikan pembantunya, Nafuzi Zain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram