SEORANG pelajar berusia 13 tahun ditahan polis bersama lima remaja lain selepas dipercayai terlibat kes curi motosikal di Melaka.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi berkata, kumpulan diketuai seorang pelajar tingkatan satu telah terlibat dengan beberapa kes kecurian motosikal di Melaka sejak awal tahun ini.
BACA LAGI: Pindaan Akta 355 perlu lebih masa — PM Anwar
BACA LAGI: [VIDEO] Dua lelaki mabuk cari pasal ugut pemandu kena belasah 'satu bas' di Jambi
"Kami berjaya menyelesaikan enam kes kehilangan motosikal yang dilaporkan di sini (Melaka) dengan penahanan enam motosikal itu.
"Serbuan dilakukan antara 4 hingga 7 Julai di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan pada Selasa (16 Julai).
Md Nazri berkata, remaja yang ditahan berusia antara 13 hingga 17 tahun dengan dua daripada mereka masih bersekolah.
"Suspek lain adalah pelajar yang diberhentikan sekolah," jelasnya.
Tambahnya lagi, siasatan polis mendapati motosikal yang dicuri iaitu Yamaha 15ZR, Yamaha 135 LC dan Modenas Kriss digunakan untuk kegunaan sendiri dan rakan kumpulan itu.
Katanya, polis turut melakukan ujian saringan awal air kencing dan mendapati semua mereka bebas dari sebarang penyalahgunaan dadah.
"Semakan rekod yang dijalankan juga mendapati semua mereka tiada sebarang rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan.
"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh juga didenda, jika disabitkan kesalahan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram