Mangsa cedera parah di muka dan kepala, penganjur liga amatur Terengganu jalankan siasatan cari dalang


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Mangsa (gambar kiri) yang merupakan bapa kepada salah seorang pemain mengalami cedera parah di bahagian muka dan kepala.

BOLA sepak di Terengganu menjadi gempar selepas sebuah pertandingan liga amatur di negeri tersebut dicemari dengan insiden pergaduhan.

Dalam aksi Terengganu Football League (TFL), perlawanan melibatkan Nag FC dan Kesa FC bertukar panas apabila kedua-dua pasukan terlibat dalam salah faham itu.

Menurut laporan, beberapa pemain Kesa FC yang menggunakan jersi serba merah menyerang pemain Nag FC di belakang gol ketika perlawanan diadakan dekat Gong Badak.

Kejadian tersebut telah menjadi tular dan mendapat perhatian seluruh negara hinggakan pihak TFL telah mengeluarkan kenyataan rasmi.

Menurut kenyataan rasmi TFL, kejadian buruk tersebut telah menyebabkan seorang mangsa cedera parah di bahagian kepala dan muka.

"Dukacita dimaklumkan ia telah menyebabkan salah seorang mangsa mengalami kecederaan teruk pada muka dan kepala. Kejadian ini bertentangan dengan semangat kesukanan yang diterapkan dalam kejohanan sukan ini," kata TFL dalam kenyataan mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Giliran pemain amatur Terengganu pula buat hal, siap tibai kepala bapak player

TFL turut berkata yang pihak mereka masih melakukan siasatan terhadap apa yang terjadi dan memberikan jaminan yang ia dilakukan dengan teliti.

"Untuk makluman, siasatan menyeluruh sedang dijalankan oleh pihak TFL melalui pelaporan lengkap pegawai perlawanan dan juga pihak keselamatan. Pihak kami memberi jaminan kepada semua bahawa pihak penganjur memandang serius berkenaan perkara ini dan tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat termasuk pihak pasukan akan dikenakan.

"Komitmen kami untuk mengekalkan persekitaran kejohanan sukan yang selamat dan berdaya saing akan diteruskan dan segala kekurangan akan diperbaiki.

"Pihak TFL juga menyampaikan rasa simpati buat mangsa yang terlibat dalam insiden ini. Melangkah ke hadapan, kami komited untuk memperkukuh protokol keselamatan dalam acara kami untuk mengelakkan insiden sedemikian daripada berlaku pada masa-masa yang akan datang," ujar TFL.

Dalam perlawanan tersebut, Nag FC berjaya menewaskan Kesa FC 4-1 dan itu adalah kemenangan mereka selepas mengharungi enam perlawanan liga.

Selain daripada perlawanan tersebut dua lagi perlawanan turut diadakan dengan BTK FC kalah 2-3 kepada Besut FA sementara Setiu FA menewaskan Kerteh FC 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram