Penasihat Teknikal dari Barcelona terpikat bakat 3 ubi muda Kerteh FC


  • Podium
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Oscar mengendalikan kelas teori dan latihan teknikalnya selama seminggu di Kerteh bermula pada Isnin lalu. — Kerteh FC

KELAB bola sepak komuniti, Kerteh FC yang berpangkalan di Pekan Kerteh, Terengganu, mengorak langkah dengan mendapatkan sentuhan DNA sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol, iaitu RieraSport.

Ia terhasil menerusi kerjasama dengan pemilik RieraSport, Oscar Riera yang dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC.

Menurut Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, Oscar kini berada di Kerteh untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya dengan jurulatih dan pelatih kelab tersebut.

Kerteh FC bekerjasama dengan Oscar sejak 1 Mei 2020. Sebagai Penasihat Teknikal, Oscar bertanggungjawab untuk membentuk DNA Kerteh FC dengan menyediakan metodologi latihan kepada pemain dan jurulatih kelab Kerteh FC.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 15.58.58 (1)

Kerteh FC memiliki skuad akar umbi dari pelbagai peringkat umur bermula daripada Bawah 6 Tahun. — ShutterKicks

Sepanjang pandemik Covid-19 melanda dunia, Kerteh FC dan Oscar bekerja secara komunikasi dalam talian bagi pertukaran idea dan maklumat.

"Hanya tahun ini, Oscar berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Kerteh dan bertemu dengan pelajar, pemain dan ibu bapa secara bersemuka dan seterusnya memberi taklimat hala tuju pemain pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Mohd Razeman, Kerteh FC berasa amat bertuah kerana mendapat sentuhan Oscar yang juga anak kepada bekas Kapten Pasukan Kebangsaan Sepanyol dan Kelab RCD Espanyol era 1960-an iaitu Julian Riera.

Oscar juga merupakan bekas Pengurus Jabatan Pencari Bakat Antarabangsa Kelab RCD Espanyol serta pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di 26 buah akademi bola sepak dengan jumlah pelatih lebih 8,000 orang di seluruh dunia termasuk di Eropah, Afrika, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Selatan.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 15.59.01

Oscar terlibat dalam latihan di padang bersama jurulatih dan pemain. — Kerteh FC

Selain itu, Oscar juga pernah menjawat jawatan selaku Pengarah Rangkaian Sekolah Bola sepak Kelab RCD Espanyol di Catalunya bagi Projek XEF selama lapan tahun.

Dia kemudian dilantik sebagai Pengurus Sukan Antarabangsa di Kelab RCD Espanyol selama tujuh tahun.

"Sepanjang 10 hari berada di Kerteh, jadual Oscar padat dengan sesi latihan di dalam kelas dan juga di atas padang bersama jurulatih dan pemain.

"Malah, dia juga mengambil peluang melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh untuk bertemu dengan pemain kelab bola sepak sekolah tersebut," katanya.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 15.58.59

Bakat cilik yang dicungkil di Kerteh FC. — ShutterKicks

Tambah Mohd Razeman, SMK Kerteh adalah sekolah di bawah 'Affiliate Program' Kerteh FC di mana sekolah tersebut menerima faedah dari segi kejurulatihan, barangan dan peralatan serta tempat latihan yang disediakan oleh pihak kelab.

Sementara itu Oscar dalam reaksinya selepas turun padang bersama pelatih Kerteh FC berpendapat, kualiti pelatih kelab itu boleh dibanggakan khususnya dari segi corak permainan dua sentuhan bola yang diterapkan.

"Secara umumnya saya melihat pelatih mampu menyerap teknik permainan berasaskan DNA yang saya bawa untuk mereka dalam tempoh masa yang singkat.

"Begitu juga dengan barisan kejurulatihan setiap peringkat umur kelab ini yang saya dapati cukup berkualiti dan memahami metodologi bola sepak yang saya terapkan di sini," katanya.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 15.59.00

Oscar memberikan taklimat ketika sesi latihan di dalam kelas bersama pemain. — Kerteh FC

Tambah Oscar, dia juga tertarik dengan corak permainan tiga pelatih Kerteh FC yang disifatkannya berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pemain yang dimaksudkannya ialah Muhammad Hafiq Aiman Mohd Zaid, Muhammad Haziq Zahid dan Muhammad Fariz Juprizal.

Oscar merancang untuk membawa ketiga-tiga pelatih tersebut bermain di dalam sistem bola sepak remaja di Sepanyol, jika ada mana-mana pihak di negara ini yang sudi menaja kos mereka di sana.

Ini kerana ketiga-tiga pemain tersebut dilihat mempunyai berpotensi yang besar pada masa akan datang.

Oscar dijadual mengendalikan kelas teori dan latihan teknikalnya selama seminggu di Kerteh bermula pada Isnin lalu.

WhatsApp Image 2023-05-27 at 15.59.03

Kerteh FC juga memiliki pemain skuad remaja. — ClickShot

Kerteh FC ditubuhkan secara rasmi dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sejak September 2018 di bawah pemilikan dan pengurusan syarikat KAL Services Sdn Bhd.

Untuk rekod, Kerteh FC sebelum ini menjadi Juara Liga Perdana dan Juara Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) 2019.

Dengan status pasukan Liga M5, Kerteh FC turut memiliki skuad akar umbi dari pelbagai peringkat umur bermula daripada Bawah 6 Tahun.

Kerteh FC bakal menyertai di liga bola sepak Terengganu Bawah 12 Tahun, Bawah 17 tahun dan pasukan utama yang dijangka bermula pada Julai 2023.

Manakala pasukan Bawah 8 Tahun, 10 Tahun, 12 Tahun B, 14 Tahun dan 16 Tahun akan menyertai Liga Suparimau 2023 musim B yang akan bermula pada Jun 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram