BOLA sepak sering dikatakan sebagai sukan rakyat. Ia dimainkan oleh kelas pekerja atau working class sejak zaman berzaman dan terus berkembang menjadi sebuah sukan paling dicintai penduduk bumi.
Namun begitu, seiring masa, bola sepak mula menjadi sebuah industri hinggakan ada yang menganggap bola sepak moden tidak lagi milik marhaen bahkan kepunyaan sang hartawan.
Akan tetapi, tetap ada usaha bagi sesetengah kelab bola sepak untuk memberi semula kepada masyarakat. Oleh sebab itu, munculnya pemilikan secara komuniti bagi sesebuah pasukan.
Tujuannya adalah memastikan penyokong masih mempunyai suara dalam perjalanan kelab. Jika tidak, jurang antara penyokong dengan pengurusan kelab pasti akan melebar seandainya tidak dilakukan.
Itulah yang cuba dilakukan oleh sebuah kelab Terengganu iaitu Kerteh FC. Kelab yang berpangkalan di bandar Kemaman, Terengganu baru-baru ini telah melancarkan pemilikan koperasi kelab yang dikenali sebagai Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad.
Menurut Presiden Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim, dia menyatakan tujuan kelabnya mewujudkan program koperasi adalah ingin mengembalikan The Oilers kepada komuniti.
Menyedari adalah sukar untuk sesebuah kelab berasaskan bandar untuk kekal lestari dan mempunyai bilangan besar berbanding pasukan negeri, sistem koperasi perlu untuk mewujudkan fan-based kelab.
Razeman merupakan Presiden Kerteh FC. — Agensi
"Tujuan kami mewujudkan koperasi adalah untuk memulangkan kelab ini kepada komuniti pada satu hari nanti.
"Tambahan pula, sudah menjadi tujuan kami untuk mewujudkan generasi penyokong Kerteh di masa depan," kata Razeman kepada Majoriti.
Razeman yakin yang bola sepak mampu menjadi jambatan terbaik untuk menghubungkan sesebuah kelab dengan komuniti.
Pendekatan koperasi tersebut dalam membantu kelab mendekatkan penyokong dengan aset komersial dimiliki mereka. Dengan pemilikan dalam koperasi, ahli dapat mempunyai hak di dalam kelab.
"Kerteh ini merupakan sebuah kelab yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Di atas kertas, hanya ada tiga nama dibenarkan untuk diletakkan selaku pemilik.
"Kalau nak bawa masuk penyokong ramai-ramai dalam kelab tak boleh pula kan? Jadi cara terbaik adalah dengan mewujudkan koperasi," jelas Razeman sambil memberitahu, penubuhan koperasi itu disahkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Terengganu Selatan (Kemaman) pada 7 Januari lalu.
Kerteh mengadakan jelajah ke Johor untuk membolehkan pemain akademi mereka mencari pengalaman beraksi di luar. — Facebook/Kerteh FC
Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad menawarkan beberapa manfaat kepada ahli yang berdaftar dengannya seperti diskaun istimewa kepada barangan rasmi kelab, hak keistimewaan dalam akademi serta akses dan pas untuk acara istimewa.
Paling utama adalah satu-satu ahli berhak untuk memilih wakil untuk menyertai ahli lembaga pengarah kelab serta pegangan kepada pemilikan Kerteh itu sendiri.
Keahlian dalam koperasi tersebut terbahagi kepada empat kategori iaitu Junior, Penyokong Luar Kerteh, Penyokong Lestari dan Pemegang Amanah.
Kategori Junior adalah tingkat terendah dengan yuran serendah RM30 setahun dikenakan sementara RM120 setahun bagi Penyokong Luar Kerteh. Namun begitu, manfaat bagi kedua-dua kategori tersebut tidak sebanyak Penyokong Lestari dan Pemegang Amanah.
Penyokong Lestari mengenakan yuran RM240 setahun sementara Pemegang Amanah yang merupakan tingkat tertinggi keahlian memerlukan seseorang membayar RM1,200 setahun.
Kerteh FC aktif beraksi dalam pelbagai liga amatur di Terengganu. — Facebook/Kerteh FC
Dalam pada itu, Razeman tidak dapat menyorokkan rasa bimbang seandainya pendekatan tersebut gagal mencapai matlamatnya.
"Kalau ditanya betul-betul tanpa selindung dan jujur, saya takut sebenarnya. Puncanya kami tidak ada kajian kes yang mendalam terhadap kewujudan koperasi dalam bola sepak.
"Kami cuma bergantung kepada data hasil penjualan jersi dan barangan rasmi kelab. Dari jualan jersi misalnya, kami dapat tahu taburan penyokong kami di seluruh Malaysia termasuk yang tinggal di Wilayah Persekutuan Labuan," jelas Razeman.
BACA LAGI: Bukan sekadar simpati, KBS diharap ikut Korea Selatan tangani isu gaji Liga M
Walaupun terdapat banyak kelab bola sepak di luar Malaysia yang mempunyai koperasi, tetapi Razeman mengatakan Kerteh tidak menjadikan mereka sebagai rujukan dalam kajian kes mereka.
Hal ini kerana, perbezaan budaya dengan cara Malaysia membuatkan ia tidak boleh dijadikan rujukan sepenuhnya oleh kelab yang berpangkalan di Kemaman itu.
Namun begitu, Razeman tetap berharap pendekatan koperasi tersebut akhirnya akan membawa hasil diharapkan buat Kerteh serta semua yang terlibat.
"Insya-ALLAH, untuk berjaya itu pasti ada potensi," kata Razeman.
Setakat Isnin, pihaknya menerima maklum balas menggalakkan menerusi pendaftaran awal seramai hampir 200 orang yang terdiri daripada penyokong Kerteh FC yang juga para ibu bapa pelatih-pelatih akademi Kerteh FC untuk menjadi ahli koperasi.
"Kami meletakkan sasaran awal menarik seramai lebih kurang 3,000 ahli selain menawarkan yuran istimewa untuk tempoh tiga bulan pertama bagi mereka yang mendaftar awal sebagai ahli," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram