Freekick samba Neto bantu Penang raih kemenangan sulung, sebulan cuti punca Perak tumpul


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Percubaan sebanyak tiga kali dari Wan Zack Haikal dinafikan oleh Sikh Izhan atau terkena palang gol Harimau Kumbang. — Facebook/PerakFC

PERAK FC gagal mengambil kesempatan dalam perlawanan di laman sendiri apabila tewas 0-2 di tangan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak dekat Ipoh pada Sabtu.

Corak permainan yang ditampilkan oleh kedua-dua kelab agak mirip apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) dan Penang FC sama-sama beraksi secara agresif apabila pasukan mula melakukan serangan.

Tamparan awal buat skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila dilayangkan kad kuning angkara terjahan Neto Oliveira terhadap Lee Tae-min seawal satu minit pertama permainan.

BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia

BACA LAGI: Sepanyol berisiko didenda lebih RM151,000 gara-gara Lamine Yamal

Dalam 20 minit pertama, pasukan tuan rumah dilihat mengawal permainan pada babak pertama perlawanan menerusi beberapa percubaan membolosi pintu gawang pasukan lawan namun gagal menghasilkan sebarang jaringan.

Paling ketara apabila percubaan sebanyak tiga kali dari pemain sayap, Wan Zack Haikal Wan Noor dinafikan oleh penjaga gol muda, Sikh Izhan atau terkena palang gol Harimau Kumbang.

Jika dibandingkan dengan Perak yang mendapat sebanyak empat kali sepakan percuma, Penang FC nyata menunjukkan kualiti mereka apabila Neto berhasil membuka akaun pada minit ke-48 selepas kali pertama peluang itu diberi pengadil.

Sepakan percuma sentuhan dari pemain kelahiran Brazil itu membuatkan penjaga gol skuad Seladang, Ramadan Hamid ternganga yang seakan-akan tidak percaya Neto berhasil menodai gawang yang dijaga dengan rapi sejak minit pertama itu.

Bersambung babak kedua perlawanan, pasukan tuan rumah dan pelawat bermula agak perlahan dengan masing-masing kurang berani untuk mencuba serangan bertali arus ke arah gawang.

Ketumpulan bahagian serangan Perak FC semakin kelihatan apabila percubaan dari Clayton Da Silva sehingga ke ketua pasukan Luciano Guaycochea juga tidak mampu menyelamatkan maruah The Bos Gaurus.

Kekecewaan semakin kelihatan di wajah Ramadan apabila gawang yang dijaga dibolosi kali kedua menerusi jaringan gol dari pemain gantian, Alif Ikmalrizal pada masa kecederaan.

Kekalahan tipis pasukan kendalian Yusri Che Lah di tangan Harimau Kumbang itu juga dikatakan susulan hampir sebulan pemain tidak terlibat dalam mana-mana aksi kompetetif.

Perlawanan terakhir Perak adalah ketika tewas 1-2 di tangan Selangor FC pada 23 Jun lalu sebelum kembali kecundang pada perlawanan bertemu Penang FC ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram