ALIF Ikmalrizal Anuar hadir sebagai pemain gantian namun impaknya untuk Penang FC dalam aksi bertemu Perak FC pada Sabtu membuahkan hasil apabila dia mencatat nama sebagai penjaring.
Perlawanan di Stadium Perak, Ipoh itu menyaksikan skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli meraih kemenangan sulung menerusi jaringan Neto Oliveira dan Alif Ikmalrizal selepas empat aksi Liga Super musim ini.
Pemain import The Bos Gaurus (TBG), Neto menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-48 ekoran rembatan ketua pasukan Harimau Kumbang, Syamer Kutty Abba terkena tangan pertahanan Perak, Luiz Motta.
BACA LAGI: Lepas gagal ke Liga Super, Perlis United tiba-tiba tarik diri Piala Belia
BACA LAGI: Freekick samba Neto bantu Penang raih kemenangan sulung, sebulan cuti punca Perak tumpul
Manakala, Alif Ikmalrizal pula menambah jaringan kedua menuju ke akhir perlawanan. Gol pertama 'ubi muda' berusia 21 tahun itu membuatkan Akmal Rizal berlari meraikannya bersama para pemainnya.
Fakta menarik sebelum jaringan dari penyerang pasukan kebangsaan Bawah 23 (B-23) tahun itu, Alif Ikmalrizal mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala apabila terkena bola hasil rembatan Izzat Zikri.
Rembatan deras Izzat itu menyebabkan Alif Ikmalrizal terbaring di padang dengan pasukan perubatan juga terpaksa dipanggil bagi merawat pemain tinggi lampai berkenaan sebelum dia bangkit membantu Penang.
Berkongsi di laman Insta Story mengenai momen kecederaannya itu, pemain yang mampu beraksi sebagai penyerang sayap kiri itu juga masih teringat-ingat rembatan deras dari Izzat.
Tangkap layar Alif Ikmalrizal terbaring selepas terkena bola dari rembatan deras Izzat.
"Headshot daripada Izzat. Maaf lah Jat (Izzat) kalau aku dah lama buat salah dengan kau. Kau dah lama ke rancang benda ini. Hahahahaha, aku tidak akan lupa Jat kau," katanya dalam nada bergurau senda dengan rakan sepasukannya itu.
Perlawanan keempat Liga Super itu sekali lagi membuka mata penyokong Harimau Kumbang bahawa Alif Ikmalrizal lebih layak mendapat posisi utama sebagai penyerang daripada pemain import, Rodrygo Dias.
Jika dibandingkan dari segi statistik, Dias yang dibawa masuk pada awal musim ini hanya mencetak satu jaringan gol untuk Penang meskipun diturunkan sebagai kesebelasan utama dalam empat perlawanan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram