IMPIAN Sabah FC untuk sekurang-kurangnya berkongsi mata bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Likas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Harimau Selatan meraih gol pendahuluan pada separuh masa pertama apabila penyerang naturalisasi negara, Romel Morales meledak dua gol pada minit ke-21 dan sebelum babak pertama berakhir.
Sabah bagaimanapun sekadar meraih gol sagu hati ihsan daripada pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali apabila pegawai perlawanan itu melihat kapten Sabah, Park Tae-su ditarik bek kanan Harimau Selatan, Matthew Davies dalam kotak penalti pelawat.
BACA LAGI: Azzmi Aziz kembali tersenyum, aksi lesu Tok Gajah hadiahkan 3 mata pertama buat skuad Jang
BACA LAGI: JDT bolos lagi tapi masih mampu bawa pulang 3 mata dari Likas
Peluang dari pengadil perlawanan itu berhasil digunakan sebaiknya oleh Sabah FC apabila bek tengah, Gabriel Peres menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-51 sekali gus merapatkan jurang dengan JDT.
Razlan Joffri sekali lagi memberi sepakan penalti namun kali ini untuk JDT apabila bek tengah, Rawilson Batuil dikesan mengasari Arif Aiman Hanapi. Sepakan itu kemudiannya disempurnakan Bergson da Silva untuk menyaksikan kedudukan 3-1 berpihak kepada JDT.
Keputusan Razlan Joffri memberi penalti kepada Harimau Selatan itu bagaimanapun dipersoalkan oleh pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee yang menyifatkan ia sebagai 'hadiah' untuk JDT.
" Sepakan penalti- saya tidak pasti HADIAH daripada siapa "
Datuk Ong Kim Swee akui dua gol JDT di babak pertama menyukarkan pasukan Sabah untuk mendapatkan keputusan positif.#DemiLigaKita #LigaSuper2425 #SABJDT pic.twitter.com/fsPet68tmp
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) July 13, 2024
"Kita tidak fokus dengan dua gol pada separuh masa pertama, yang mana daripada sepakan sudut dan kelekaan kita. Ia menyukarkan kita namun kita dapat gol daripada sepakan penalti. Ia memberi peluang semula.
"Tetapi malangnya apabila kita cuba mendapatkan gol penyamaan terutamanya dengan hadiah sepakan penalti, saya tak pasti hadiah daripada siapa tapi kita harus menerima hakikat dua gol awal menyukarkan kita untuk dapat satu mata," katanya memetik video Astro Arena pada Sabtu.
Romel meledak dua gol dalam aksi bertemu Sabah FC. — Facebook/SabahFC
Sementara itu, penyokong bola sepak domestik pula melihat bahawa ia adalah keputusan yang wajar dilakukan oleh pengadil perlawanan susulan mereka melihat Rawilson sengaja menerjah kaki Arif Aiman.
"Rawilson terang-terang sengaja nak aim kaki Arif Aiman, nasib baik ada Video Bantuan Pengadil (VAR)," kata penyokong, Rajj.
"Kalau tiada VAR mungkin pengadil akan abaikan itu adalah terjahan keras. Tetapi jika tengok video secara perlahan, memang jelas kaki Rawilson mengarah ke arah kaki Arif Aiman. Ia memang jelas penalti dan tak boleh dipersoalkan," jelas Avineswaran.
"Memang jelas ia terjahan terus ke arah kaki Arif Aiman, " bagi penyokong, Farizio Rahmano. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram