Azzmi Aziz kembali tersenyum, aksi lesu Tok Gajah hadiahkan 3 mata pertama buat skuad Jang


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

Fadhli Shas (kanan) cuba menyekat hantaran dibuat pemain Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung. — Facebook/Sri Pahang FC

PRESTASI membimbangkan terus dialami Sri Pahang FC selepas mereka tewas 0-2 di tangan Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.

Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan pasukan pelawat berada di hadapan pada minit ke-24 menerusi R Barathkumar yang menampan masuk hantaran sepakan percuma Takumi Sasaki.

Tidak lama selepas itu, skuad bimbingan Fandi Ahmad dihidangkan peluang untuk mengikat kedudukan apabila kapten lawan, Nasrullah Hanif didapati menyekat hantaran Kpah Sherman menggunakan tangannya.

BACA LAGI: Tinggal 1 'nyawa', Sri Pahang bakal tamatkan karier Azzmi Aziz di NSFC?

BACA LAGI: Isu gaji bikin bintang Sabah, KL City, Pahang laku macam 'pisang goreng panas'

451289401_859745322854167_43434221444296787_n

Kpah (kanan) gagal menggegarkan gawang Negeri Sembilan FC di laman sendiri. — Facebook/Sri Pahang FC

Namun, tekanan dialami pemain tengah, Stefano Brundo menyaksikannya gagal menyumbang jaringan buat skuad Tok Gajah apabila sepakannya jauh tersasar daripada gol.

Bersambung babak kedua, serangan demi serangan dilancarkan tuan rumah demi memburu jaringan penyamaan yang sekali gus dapat membantu menamatkan rentetan kekalahan dialami.

Tetapi, kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Aqil Abdul Razak menyaksikan jentera serangan skuad Tok Gajah hampa meskipun kesebelasan utama terbaik diturunkan.

Malang berganda buat Sri Pahang FC apabila pasukan bimbingan Azzmi Aziz menggandakan kelebihan selepas Sasaki menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) menyaksikan kapten tuan rumah, Fadhli Shas melakukan kekasaran ke atas Hein Htet Aung ketika melakukan percubaan, sekali gus memaksa pengadil, Suhaizi Shukri menghadiahkan sepakan itu.

Keputusan 2-0 kekal berpihak kepada Negeri Sembilan FC yang merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super selepas mengharungi empat perlawanan.

Bagi Sri Pahang FC pula, kekalahan itu menyaksikan mereka tergelincir ke kedudukan kesembilan dengan harapan mereka untuk terus mendaki carta semakin sukar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram