JDT bolos lagi tapi masih mampu bawa pulang 3 mata dari Likas


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jul 2024

JDT menewaskan Sabah 3-1 dalam aksi Liga Super pada Sabtu. — Facebook/JDT

PERLAWANAN Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan JDT FC membawa pulang tiga mata ketika menentang Sabah FC di tempat lawan dengan kemenangan selesa 3-1 pada Sabtu.

Perlawanan di Stadium Likas, Sabah itu berlangsung sengit apabila skuad Sang Badak menerima tentangan hebat daripada JDT.

JDT memperoleh jaringan pertama selepas penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat membuat kesilapan sehingga membiarkan penyerang Harimau Selatan, Romel Morales membuat tandukan mudah pada minit ke-20.

BACA LAGI: Azzmi Aziz kembali tersenyum, aksi lesu Tok Gajah hadiahkan 3 mata pertama buat skuad Jang

BACA LAGI: Tinggal 1 'nyawa', Sri Pahang bakal tamatkan karier Azzmi Aziz di NSFC?

msg1050426791-35419

Romel Morales menjaringkan dua gol dalam perlawanan itu. — Facebook/JDT

Selepas itu, pada minit ke-43, JDT sekali lagi menunjukkan taring selepas gol Sabah mudah dibolosi dengan jaringan kedua daripada Romel hasil bantuan Francisco Geraldes.

Pada separuh masa kedua, Sabah bangkit merapatkan kedudukan menerusi jaringan bek tengah, Gabriel Peres menerusi tendangan penalti pada minit ke-50 selepas pertahanan JDT, Matt Davies didapati melakukan kekasaran sehingga pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali membuat keputusan tersebut.

Meskipun terdapat percubaan untuk mendapatkan jaringan penyamaan, barisan serangan skuad Sang Badak sering mensia-siakan peluang sepanjang separuh masa kedua.

Malang bagaimanapun menimpa pasukan Sabah selepas pemain pertahanan, Rawilson Batuil mengasari Arif Aiman Hanapi yang sekali gus memberikan sepakan penalti kepada JDT.

Sepakan itu kemudiannya disempurnakan penyerang skuad Harimau Selatan, Bergson da Silva untuk menyaksikan kedudukan 3-1 berpihak kepada mereka.

Kedudukan kekal sehingga wisel penamat menyaksikan pasukan kendalian Hector Bidioglio meraih kemenangan sementara Sabah berputih mata apabila tewas buat pertama kali dalam Liga Super musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram