Ex keeper Pahang ada misi baharu, bantu akademi penjaga gol di Perancis


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Samassa (depan) kini beraksi bersama Stade Lavallois dalam Ligue 2. — Agensi

MAMADOU Samassa, nama bekas penjaga gol Sri Pahang FC yang pernah mewarnai skuad Tok Gajah pada saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2022 kembali mencuri perhatian.

Penyokong Sri Pahang pastinya mengenali bekas penjaga gol kelahiran Perancis yang dibolosi sebanyak 43 perlawanan dalam 26 penampilan bersama Tok Gajah.

Disebabkan prestasi buruknya itu, pemain kebangsaan Mali itu tidak disambungkan kontrak dan tempatnya diganti oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Izham Tarmizi yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim lalu.

BACA LAGI: Lepak dengan import JDT, Rafael Vitor selangkah ke JDT?

BACA LAGI: Berpotensi tundukkan Gergasi Merah, TFC boleh ke final jumpa JDT — Legend Peteh

Bagaimanapun, Samassa ketika ini difahamkan mempunyai misi baharu dalam membantu sebuah akademi penjaga gol di Perancis iaitu S.S GK Academy.

Ia selepas satu perkongsian di laman Instagram rasmi akademi tersebut memaparkan kelibat bekas penjaga gol Tok Gajah itu turut bersama-sama dalam acara tersebut.

"Kami amat menghargai kehadiran penjaga gol antarabangsa Mali, Mamadou Samassa yang turut menabur khidmat bersama akademi tersebut," tulisnya di Instagram.

Pastinya pengalaman yang cukup bernilai pemain berketinggian 1.97 meter itu dijangka mampu memberi suntikan kepada penjaga gol muda akademi tersebut.

Samassa ketika ini beraksi bersama kelab Perancis, Stade Lavallois dalam Ligue 2 dan dia juga berhasil dipanggil kembali ke skuad kebangsaan Mali baru-baru ini.

Untuk rekod, Samassa pernah mewakili Perancis di pelbagai peringkat umur sebelum membuat penampilan bersama skuad kebangsaan Mali dan membantu negaranya menduduki tempat ketiga di Piala Negara-Negara Afrika pada 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram