JENDELA perpindahan lalu menyaksikan puluhan aktiviti pertukaran kelab dilakukan pemain yang bercita-cita untuk mencari angin baharu dalam karier masing-masing bagi menambah baik portfolio mereka sebagai pemain.
Namun, ada yang tidak bernasib baik kerana perpindahan diimpikan tidak tercapai susulan kegagalan menemui kata sepakat merupakan antara punca mereka terpaksa melupakan destinasi diidamkan.
Walaupun kerjasama tidak berhasil namun ada sesetengah pemain yang masih bertegas untuk meninggalkan kelab masing-masing demi pengalaman baharu dan minit permainan di kem baharu.
BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya
BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber
Jadi, demi merealisasikan cita-cita, ada yang memilih untuk sertai kelab lain walaupun ia merupakan pilihan kedua tetapi perpindahan itu membuahkan hasil kerana ada dalam kalangan mereka yang mula membuktikan nilai tersendiri.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, tiga pemain dari Terengganu FC (TFC), Selangor FC dan Kuching City kini sedang menikmati musim terbaik mereka walaupun bersama pilihan kedua;
1) Marin Pilj
Perancang tengah Terengganu, Marin Pilj yang kini semakin diminati penyokong skuad Sang Penyu ternyata tidak memilih pasukan berkenaan sebagai kelab utama pada jendela perpindahan awal tahun ini.
Naib juara Piala Malaysia 2023 itu bukan pilihan pertama Marin apabila difahamkan dia ingin menyambung kontrak bersama Varazdin namun tidak mencapai kata sepakat bersama bekas majikannya berkenaan.
Memetik laporan media luar negara pada Mac lalu, pengurusan Varazdin mahu menandatangani kontrak baharu dengannya pada penghujung tahun lalu namun rundingan menemui jalan buntu sehingga pemain berusia 27 tahun itu menamatkan kerjasamanya dengan kelab tersebut.
Meskpun terpaksa membawa diri sehingga ke bumi Terengganu, pemain kelahiran Crotia itu masih tampil memberikan persembahan cemerlang dengan Marin menjadi watak utama bahagian tengah skuad kendalian Tomislav Steinbruckner.
Untuk rekod, pemain berkaki kanan berkenaan sudah mencetak dua gol dalam membantu pasukan berkenaan layak ke pusingan separuh akhir Piala FA 2024 dan kedua-duanya dibuat menerusi sepakan percuma jarak jauh.
2) Nooa Laine
Nooa kini beraksi sebagai watak utama di bahagian tengah Selangor. — Facebook/SelangorFC
Siapa yang mengikuti Liga Malaysia (Liga M) di awal musim ini, pasti mengingati perpindahan hangat pemain warisan negara, Nooa Laine ke Selangor FC pada awal Februari tahun ini.
Walaupun pemain campuran Finland-Malaysia itu sudah tiba di bumi Selangor namun Johor Darul Ta'zim (JDT) mendedahkan bahawa mereka merupakan pilihan utama Nooa sebelum secara rasminya memilih Gergasi Merah.
Kiko Insa Bohigues iaitu pemilik kepada syarikat agensi pemain bola sepak yang dikenali sebagai InsaProject Global Group berkongsi bukti Nooa pada awalnya menawarkan diri untuk beraksi bersama Harimau Selatan.
Penghijrahan ke JDT bagaimanapun tidak berlaku selepas Harimau Selatan mengatakan bahawa mereka terperangkap perang bidaan pemain namun menolak tawaran berkenaan disebabkan harga yang disebutkan adalah tidak munasabah.
Walaupun tidak menyarung jersi JDT, Nooa kini menjadi nadi bahagian tengah pasukan kendalian Nidzam Jamil dengan dia kini sudah tampil dalam empat aksi domestik termasuk satu perlawanan Piala FA.
3) Danial Amier
Danial Amier membalas kepercayaan Aidil Sharin dengan aksi konsistennya. — Facebook/KuchingCity
Kisah Danial Amier Norhisham mungkin tidak pernah didedahkan mendapat tawaran pasukan lain sebelum menyertai Kuching City namun pemain pinjaman JDT itu pernah menarik minat Sabah FC pada jendela perpindahan sebelum ini.
Danial Amier yang pernah bekerjasama dengan pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ketika mengendalikan pasukan Bawah 23 tahun negara itu dilihat tempat sesuai untuk meraih minit permainan.
Namun, perpindahan ke Sabah FC tidak berlaku dan Danial Amier menyertai pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak untuk mengawal bahagian tengah pasukan itu memandangkan dia mempunyai kualiti permainan yang baik.
Kelebihan Danial Amier daripada segi ketenangan mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran-hantaran berbahaya terbukti apabila dia sering menjadi pilihan Aidil Sharin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram