USAHA keras Kuching City FC akhirnya terbalas apabila skuad The Cats meraih kemenangan pertama dalam Liga Super musim ini selepas menewaskan PDRM 2-0 di Stadium Negeri dekat Kuching, Sarawak pada Jumaat.
Empat perlawanan Liga Super yang diharungi sebelum ini menyaksikan The Cats hanya meraih tiga seri dan satu tewas, sebelum meraih tiga mata di tempat sendiri menerusi jaringan dari Danial Amier Norhisham dan Jordan Mintah.
Terpapar wajah ceria penyokong The Cats yang hadir di Stadium Negeri seawal minit kedua selepas Danial Amier kembali mencetak gol pertamanya selepas dua tahun menyepi di saingan tertinggi Liga Malaysia.
BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya
BACA LAGI: Bukan kelab pilihan tapi 3 pemain Selangor, TFC dan Kuching City masih 'deliver' tugas dengan baik
Pemain tengah berusia 27 tahun itu menyudahkan hantaran dari penyerang import, Mintah untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See dan sekali gus membuka akaun gol pertamanya pada musim ini.
Untuk rekod, kali terakhir Danial Amier meledak gol pada saingan Piala FA 2022 iaitu ketika membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan 10-0 ke atas pasukan Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga A1 Semi-Pro, BRM FC.
Oleh itu, tidak hairan ramai penyokong turut tumpang gembira dengan gol pertama dari Danial Amier dengan ia membuktikan bahawa bekas pemain kebangsaan itu sudah kembali menunjukkan prestasi terbaik selepas berehat lama pada musim 2023 akibat kecederaan.
Di sebalik kejayaan manis pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, harta paling berharganya iaitu isteri dan anak lelakinya nyata menjadi motivasi besar buat Danial Amier kembali mencipta nama di saingan Liga Malaysia.

Tangkap layar Insta Story Danial Amier.
"Senyumanmu (isteri) yang paling penting dari segalanya. Alhamdulillah" kongsi Danial Amier ringkas di Insta Story sebagai tanda penghargaan kepada isterinya yang tidak berhenti-henti menyokong pemain tengah itu.
Peluang dipinjamkan ke Kuching City dari Johor Darul Ta'zim (JDT) pada awal musim ini menjadi titik perubahan Danial Amier apabila dia sering mendapat kepercayaan dari Aidil Sharin Sahak untuk mengawal bahagian tengah memandangkan dia mempunyai kualiti permainan yang baik.
Kelebihan Danial Amier daripada segi ketenangan mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta hantaran-hantaran berbahaya terbukti apabila dia sering menjadi pilihan Aidil Sharin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
