KEKALAHAN tipis 1-2 dialami Perancis ke tangan Sepanyol dalam aksi separuh akhir Kejohanan Euro 2024 di Allianz Arena, Jerman pada Rabu.
Gol awal daripada Randal Kolo Muani meletakkan skuad Les Blues di hadapan seawal minit kesembilan sebelum pemain muda lawan, Lamine Yamal menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-25 pula, skuad La Roja pula mendapatkan gol kedua yang merupakan gol pendahulu selepas pemain tengah, Dani Olmo menewaskan Mike Maignan.
BACA LAGI: Pengendali Sepanyol yakin topeng Mbappe 'bantu' La Roja aksi separuh akhir
BACA LAGI: Mbappe akui kehilangan bekas bintang Man United punca jentera serangan Perancis tumpul di Euro 2024
Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan Sepanyol melayakkan diri ke perlawanan akhir sementara kemaraan Perancis terhenti di situ sahaja.
Kekecewaan sudah tentu dirasai anak-anak buah Didier Deschamps, terutamanya buat kapten pasukan, Kylian Mbappe yang berasa kurang puas akan kempennya kali ini.
Kemaraan Perancis dalam Kejohanan Euro kali ini terhenti di pentas separuh akhir. — Agensi
Dia yang hanya mencatatkan satu gol buat Perancis menerusi sepakan penalti berasakan cita-cta negara itu dalam saingan berkenaan tidak tercapai.
"Kempen saya? Ia adalah sesuatu yang sukar secara peribadi. Ia adalah satu kegagalan kerana kami ada misi untuk bergelar juara Eropah. Saya ada misi itu. Kami tidak mencapainya, jadi kami gagal.
"Bagaimanapun, ia hanya bola sepak. Kami dan saya juga perlu melupakannya kerana saya akan bercuti panjang sebelum bangkit musim depan," katanya.
Mbappe memulakan Kejohanan Euro 2024 dengan langkah kiri selepas mengalami patah hidung dalam perlawanan pembukaan menentang Austria.
Berikutan kecederaan terbabit, pemain Real Madrid berkenaan tidak dapat diturunkan ketika berdepan Belanda selain terpaksa memakai topeng sepanjang kempen sebelum membukanya untuk menentang Sepanyol.
Kesukaran Mbappa untuk beraksi dengan baik jelas memberi kesan terhadap jentera serangan juara Piala Dunia 2018 itu yang hanya mencatatkan empat jaringan sepanjang kejohanan.
Penyingkiran berkenaan menyaksikan harapan Perancis untuk menjadi juara Euro buat kali ketiga dalam sejarah tidak tercapai sementara Sepanyol berpeluang menjulangnya buat kali keempat sekiranya menumpaskan Belanda atau England dalam perlawanan akhir. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram