PERLAWANAN Sabah FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka lebih sukar apabila difahamkan The Rhinos kehilangan khidmat dua tonggak utama dalam aksi Liga Super keempat mereka di Stadium Likas dekat Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan dua tonggak berkenaan adalah Saddil Ramdani dan Darren Lok susulan kecederaan dialami mereka, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.
BACA LAGI: Pengarah Sabah FC pelik kontena luar stadium, fans jawab tempat 'simpan' perosak bola sepak
BACA LAGI: [VIDEO] Impian untuk tewaskan JDT, Pak Karim pelik stadium Sabah makin kosong musim ini
“Sudah pasti akan memberi satu cabaran besar. Perlawanan ini sangat berbeza, sudah tentu melibatkan kedudukan liga... kita tahu perlawanan Sabtu ini sangat penting dan lebih-lebih lagi bermain dengan pasukan JDT.
“Bukan satu perkara yang mudah, tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu FC baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pasukan Borneo tanah air berkenaan terlepas slot ke separuh akhir Piala FA selepas tersingkir dari kejohanan itu susulan tewas besar 0-7 secara agregat di tangan Terengganu dalam pusingan suku akhir.
Oleh itu, Kim Swee mahu anak-anak buahnya untuk segera melupakan kekalahan itu dengan menumpukan pada perlawanan menentang Harimau Selatan agar dapat mengembalikan prestasi sebenar mereka.
Kim Swee mahu penyokong memberi sokong padu kepada Sabah pada Sabtu. — Facebook/SabahFC
“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan... perkara ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada para penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan,” katanya.
Kim Swee optimis dengan adanya kehadiran penyokong yang ramai di Stadium Likas, sudah pasti semangat pemain akan meningkat sekali gus memberikan motivasi yang cukup positif untuk beraksi cemerlang pada perlawanan esok.
Selain Kim Swee, Park Tae-su selaku ketua pasukan Sabah juga berharap 'pemain ke-12' Sabah akan sentiasa memenuhi kerusi di Stadium Likas kerana kehadiran mereka akan memberi suasana berbeza untuk The Rhinos.
Saddil dikhabarkan akan terlepas perlawanan bertemu JDT. — Facebook/SabahFC
"Terima kasih kepada penyokong Sabah FC tapi saya tidak tahu kenapa tahun ini semakin kurang, saya pun tidak tahu kenapa dalam dua tahun lepas ramai orang datang setiap perlawanan.
"Saya tidak tahu, pemain sama, semua sama tapi penyokong yang makin kurang, jadi saya harap tolonglah penyokong Sabah FC sokong kami, datang (stadium) ramai-ramai.
"Kalau orang ramai datang kami main lagi semangat dan lawan itu dah bukan macam 11 lawan 11 tapi lebih, untuk pasukan kami lebih kuat semangat," katanya menerusi temu bual bersama dalam Podcast Stef It Up. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram