JOHOR Darul Takzim (JDT) mencatatkan sejarah tersendiri musim ini apabila tidak mencicirkan sebarang mata dalam saingan Liga Super setakat 17 perlawanan.
Kecemerlangan mereka diteruskan dalam kempen Piala FA dengan mereka kini sudah menempatkan diri dalam perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada Sabtu.
Pertembungan dengan Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu pastinya cukup dinanti-nantikan penyokong skuad Harimau Selatan.
Namun, terdapat berita buruk yang terpaksa ditempuhi jaguh bola sepak tempatan tersebut apabila baru-baru ini, pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mengesahkan mereka bakal kehilangan khidmat seorang tonggak.
Berdasarkan satu sesi temubual, difahamkan penyerang senior mereka, Diogo Luis Santo terpaksa disisihkan untuk jangka masa panjang akibat kecederaan.
"Buat masa ini, kami tahu bahawa Diogo cedera untuk beberapa bulan dan kami tahu di mana kami perlukan pemain luar negara. Jadi, perancangan itu sudah kami bincangkan dan sedang berunding," katanya.
Heberty diumumkan sebagai pemain baharu buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Teka-teki tersebut bagaimanapun mudah terjawab apabila pada Jumaat, JDT mengumumkan mereka sudah membawa masuk penyerang kelahiran Brazil, Heberty.
Kenyataan itu dibuat menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi kelab tidak lama selepas majikan lamanya, Bangkok United mengumumkan pemergiannya.
Kehadiran penyerang berusia 34 tahun terbabit dilihat akan meningkatkan kebolehan JDT apabila dia merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Thailand.
Tidak cukup dengan itu, Heberty juga memiliki pelbagai pengalaman beraksi di tahap tertinggi dengan memenangi Piala Liga Thailand pada 2017 bersama Muangthoung United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram