SEPERTI dalam mana-mana saingan liga, pastinya pertembungan musuh setempat atau derby akan mengambil tempat saban musim.
Perlawanan sebegini mempunyai rencahnya yang tersendiri kerana ia akan sentiasa panas, menarik dan mendebarkan.
Begitu juga dengan Derbi Lembah Klang melibatkan Kuala Lumpur City FC dengan Selangor FC. Setiap musim, pasti ada drama yang hadir dari aksi ini.
BACA LAGI: Paulo Josue bersuara tanda Mr Kuala Lumpur sudah hilang sabar — Penyokong setia
BACA LAGI: Isu gaji: Bila bersuara dikata cuba burukkan imej bola sepak — Safee Sali
Derbi Lembah Klang sering berlangsung dengan panas. — Agensi
Sepak mula akan diadakan pada Ahad (14 Julai) namun begitu, promosi perlawanan tersebut seakan-akan 'lemau' daripada pihak penganjur iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Perkara itu diakui oleh penyokong setia KL City, Nizam Archibald ketika menjadi tetamu rancangan Duduk Sembang terbitan Majoriti.
Nizam berkata, usaha promosi oleh MFL agar kurang walaupun Derbi Lembah Klang adalah salah satu perlawanan penting dalam bola sepak negara.
"Saya setuju dengan itu (kurang kehangatan Derbi Lembah Klang), tapi saya rasa semuanya bermula pada tahun-tahun terdahulu apabila terdapat masalah bookie. Oleh itu, peminat mula menjauhi pasukan terutamanya Kuala Lumpur, ditambah dengan prestasi pasukan pun merudum.
"Jadi pada waktu itu ada jurang waktu yang cukup lama sampailah tempoh tiga tahun ke belakang apabila KL City memenangi Piala Malaysia (pada 2021), barulah kehangatan itu kembali tapi mungkin sudah terlalu lambat," kata Nizam.
Sejak beberapa musim, Derbi Lembah Klang sering berlangsung dengan seimbang. — Agensi
Nizam juga berkata pada tempoh kejatuhan KL City yang terlalu lama itu menyebabkan kelompok penyokong skuad Warga Kota semakin mengecil.
Ada yang mula menjauhkan diri daripada kelab malah terdapat segelintir yang 'merentas sempadan' untuk mendukung Selangor.
Tapi bagi Nizam, usaha memeriahkan Derbi Lembah Klang ini bukan setakat mengharapkan kepada MFL semata-mata. Sebaliknya, penyokong perlu sama-sama membantu.
"Sekarang ni kalau nak hidupkan lagi keterujaan bukan setakat bergantung kepada media sahaja tetapi penyokong pun sama, mereka perlu sebarkan kepentingan perlawanan derbi ini.
"Sebab para pemain tahu, mereka tahu kepentingan perlawanan ini. Penyokong yang selalu turun pun tahu. Sekarang ni bagi orang yang tak tahu pula, ini yang kita nak sebarkan dan terangkan kepada mereka yang perlawanan Derbi Lembah Klang ini umpama Manchester United bertemu Liverpool, Manchester United lawan Manchester City, Liverpool jumpa Everton, (memang) kena buat," jelas Nizam.
Jangan lupa saksikan Duduk Sembang episod 10 dengan membincang mengenai topik Derbi Lembah Klang, isu gaji KL City dan banyak lagi di laman Facebook dan TikTok Majoriti pada 12 Julai (Jumaat) bermula 8.30 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram