[VIDEO] Impian untuk tewaskan JDT, Pak Karim pelik stadium Sabah makin kosong musim ini


  • Podium
  • Khamis, 11 Jul 2024

Kehadiran penyokong Sabah di Stadium Likas semakin berkurangan musim ini. — Facebook/Sabah FC

PEMAIN import Sabah FC, Park Tae-su pelik dengan penyokong Sang Badak yang semakin hilang setiap kali membabitkan perlawanan pasukan itu di Stadium Likas, Sabah.

Perkara tersebut diluahkan oleh Kapten Sabah dalam Podcast Stef It Up selepas diberi peluang untuk memberikan ucapan kepada penyokong Sang Badak.

Selain itu, bintang import Korea Selatan tanpa berselindung memasang impian untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di bumi Likas sebelum Ramon Machado memilih untuk meninggalkan pasukan susulan terpalit dengan isu gaji.

BACA LAGI: 'Tak bayar gaji sejak awal liga', kelab Sang Utara turut alami masalah gaji?

BACA LAGI: Pengarah Sabah FC pelik kontena luar stadium, fans jawab tempat 'simpan' perosak bola sepak

449966471_874631721370187_8017633087160103875_n

Tae-su mewakili Sabah sejak musim 2019. — Facebook/Sabah FC

"Lawan mereka (JDT) memang susah, bukan senang tapi harapan saya dari dulu lagi saya mahu menang lawan mereka.

"Saya fikir sebelum mula musim, tahun ini ada peluang tapi tiba-tiba Ramon (Machado) keluar sebelum lawan mereka tidak tahulah macam mana jadi tapi kami akan yang terbaik.

"Terima kasih kepada penyokong Sabah FC tapi saya tidak tahu kenapa tahun ini semakin kurang, saya pun tidak tahu kenapa dalam dua tahun lepas ramai orang datang setiap perlawanan.

"Saya tidak tahu, pemain sama, semua sama tapi penyokong yang makin kurang, jadi saya harap tolonglah penyokong Sabah FC sokong kami, datang (stadium) ramai-ramai.

"Kalau orang ramai datang kami main lagi semangat dan lawan itu dah bukan macam 11 lawan 11 tapi lebih, untuk pasukan kami lebih kuat semangat," katanya.

Sebelum ini, kem pengurusan Sabah dikhabarkan dilanda masalah tunggakan gaji selepas pemain-pemain Sang Badak menunjukkan empat jari seolah-olah memberi gambaran situasi semasa pasukan.

Ia lebih dikuatkan lagi selepas Ramon memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal bagi memberi ruang mencari pasukan lain musim ini.

Sabah akan menerima kunjungan JDT di Stadium Likas dalam perlawanan minggu kelima Liga Super sekali gus memasang impian untuk mengutip tiga mata penuh.

Untuk rekod, Tae-su atau lebih dikenal sebagai Pak Karim dalam kalangan penyokong Sabah mula menyertai pasukan dari Borneo itu sejak 2019.

Sehingga kini, Tae-su masih kekal dengan Sabah dan musim ini merupakan tahun keenam pemain itu dalam kancah liga bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram