Ulangi final Challenge Cup, Irfan Bakti nasihat Kuching City ikat finalis Piala Asia


  • Podium
  • Khamis, 11 Jul 2024

Kuching City akan melayani kunjungan PDRM di Stadium Negeri bagi perlawanan minggu ke-5 Liga Super pada Jumaat.

BEKAS pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim yakin akan kemampuan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan kelima Liga Super meskipun tidak berjaya layak ke pusingan separuh Piala FA, Sabtu lalu (6 Julai).

Kuching City dijadualkan akan melayani kunjungan PDRM FC di Stadium Negeri Sarawak pada Jumaat (11 Julai).

Menurut Irfan Bakti, keputusan seri secara agregat menentang Selangor 4-4 dan tewas dalam sepakan penalti merupakan perkembangan terbaik buat The Cats.

BACA LAGI: Tiada kemas kini kes asid Faisal Halim, Bukit Aman nafi hentikan siasatan

BACA LAGI: Pengurusan tertinggi KL City tak tahu gaji tertunggak sampai 7 bulan, tidak dimaklumkan CEO

Irfan Bakti

Irfan Bakti sebelum ini mengendalikan Kuching City sebelum Aidil Shahrin mengambil alih The Cats musim lalu.

"Saya rasa moral pemain masih berada dalam tahap yang baik meskipun mereka (Kuching City) tidak layak ke pusingan seterusnya dalam Piala FA.

"Mereka boleh memenangi perlawanan tersebut walaupun di tempat lawan, keputusan seri di Selangor menunjukkan sesuatu yang positif.

"Dalam Liga Super, mereka dah tiga kali seri tanpa sebarang kemenangan dan bertemu PDRM mungkin Kuching akan dapat tiga mata penuh," katanya kepada Majoriti.

Irfan Bakti turut berpandangan ia bukan perkara mudah untuk pemain Kuching City mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri kerana PDRM bukan lagi pasukan belasahan dalam liga.

Ia kerana The Cops musim ini mempunyai pemain import berkualiti untuk menggagalkan usaha Kuching City mendapatkan tiga mata penuh.

"Mereka (PDRM) bukan lagi pasukan belasahan, bagaimanapun saya rasa kelebihan kepada Kuching City.

"Saya rasa Kuching City perlu menyekat pemain import PDRM, Fadi Awad terlebih dahulu sebelum bola sampai ke kaki Ifedayo (Olusegun).

"Pemain Jepun, Bruno Suzuki walaupun dah berusia dia masih berbahaya dari segi serangan kerana mengenali import ini dia merupakan seorang 'opportunist' kalau silap sikit bahaya," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Kuching City kini berada di tangga ke-8 Liga Super dengan merekodkan tiga seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan terakhir.

Manakala, PDRM berada di tangga ke-6 menerusi satu kemenangan, seri dan dua kekalahan dalam empat perlawanan terakhir.

Musim lalu, Kuching City tewas dengan keputusan agregat 1-4 di tangan PDRM dalam perlawanan akhir Piala Cabaran 2023 (Challenge Cup). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram