PENUTUPAN pintu pagar balai polis di seluruh negara selepas pukul 10 malam tidak akan menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat, kata Tan Sri Razarudin Husain.
Ketua Polis Negara itu berkata, arahan tersebut akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) mengenainya disiapkan oleh Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Setakat ini, arahan penutupan pintu pagar balai polis dilaksanakan di kawasan-kawasan terpencil atau luar bandar susulan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 17 Mei lalu.
BACA LAGI: Dakwa ditumbuk ‘Orang Besar’ Rembau, 17 saksi dipanggil
BACA LAGI: Tiada kemas kini kes asid Faisal Halim, Bukit Aman nafi hentikan siasatan
Tan Sri Razarudin Husain.
"Pada masa ini, pelaksanaan arahan itu adalah membabitkan balai polis yang mempunyai penugasan dua anggota. Seorang anggota bertugas sebagai prowler (balai pengawal), manakala seorang lagi bertugas di bahagian inkuiri (kaunter laporan polis).
"Secara amnya, penugasan dua anggota ini wujud di balai polis di kawasan terpencil dan luar bandar, namun ia juga turut merisikokan keselamatan anggota yang terbabit terhadap sebarang ancaman seperti yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram," katanya.
Razarudin berkata, penutupan pintu pagar balai polis bukannya bermaksud sesebuah balai itu ditutup, namun ia tetap beroperasi secara normal dalam memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
"SOP pelaksanaan arahan ini akan dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan, Datuk Seri Azmi Kassim, sebelum dlaksanakan secara berperingkat di balai-balai terutama kawasan terpencil dan luar bandar.
"Seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, kita seharusnya mengimbangi bahawa balai polis adalah tempat rakyat mengadu dan pada masa sama, balai polis turut menjadi sasaran ancaman, jadi kita imbangkan antara dua keperluan itu," jelasnya.
Beliau turut mengulas sebarang proses aduan dan membuat laporan di balai polis berjalan secara normal.
"Orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan lapang yang tidak mengganggu kelancaran lalu lintas tidak jauh dari kawasan balai polis ketika berurusan selepas pukul 10 malam.
"Secara normal, anggota yang berugas di Pos Pengawal Balai Polis akan merekodkan tujuan kehadiran ke balai polis sebelum dibenarkan masuk untuk berurusan dengan anggota inkuiri," ujarnya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram