Matlan Marjan sudah ramal tunggakan gaji Sabah, gesa rombakan pihak pengurusan


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Skuad kendalian Kim Swee sebelum ini didakwa mengalami tunggakan gaji mencecah enam bulan. — Facebook/SabahFC

LEGENDA Sabah, Matlan Marjan sudah meramal pasukan kesayangannya itu akan mengalami tunggakan gaji pada musim ini susulan masih tiada perubahan di takuk pengurusan The Rhinos.

Kemelut dalaman Sang Badak sebelum ini semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong dengan ada khabar angin mendakwa bahawa para pemain Sabah FC didakwa mengalami tunggakan gaji sehingga enam bulan.

Masalah yang tidak berkesudahan itu dikatakan menjadi faktor terbesar mempengaruhi masalah prestasi Sang Badak sehingga tewas besar 0-7 secara agregat di tangan Terengganu FC (TFC) dalam pusingan suku akhir.

BACA LAGI: OKS-Apek sahkan Sabah bebas isu tunggakan gaji. pihak pengurusan umum akan buat sidang media

BACA LAGI: Hantaran jari tengah bukan untuk fans, pengurus Sabah kongsi mahu letak jawatan tapi dihalang

Rentetan masalah berkenaan, Matlan yang membantu menaikkan nama Sabah sekitar 90-an itu meletakkan kesalahan berkenaan di bahu pihak pengurusan dan enggan menuding jari kepada Datuk Ong Kim Swee selaku ketua jurulatih.

"Dari awal tahun ini, saya sudah jangka ada masalah gaji. Pertama dari segi struktur sabah, saya sudah agak memang ada kepincangan. Kim Swee dan pemain sudah buat kerja yang memuaskan.

"Saya rasa di bahagian pengurusan Sabah tiada individu yang betul-betul minat bola. Saya tidak tahu siapa yang turun padang untuk memantau. Perlu ada rombakan di peringkat pengurusan.

"Kita tidak boleh salahkan pemain jika prestasi tidak bagus kerana jika ada tekanan tak dapat gaji, nak makan macam mana. Jika betul-betul mereka (pengurusan) ada tanggungjawab, perlu letak jawatan untuk selesaikan isu ini," katanya kepada Majoriti.

matlan marjan

Matlan menggesa rombakan perlu dilakukan di peringkat pengurusan. — Facebook/MatlanMarjan

Bekas penyerang kebangsaan itu juga menasihati agar pihak pengurusan tidak cepat melatah dengan kecaman penyokong sehingga memuat hantaran berunsur emosi di media sosial sehingga menimbulkan salah faham.

Masalah berhubung isu tunggakan gaji itu menjejaskan imej pihak pengurusan Sabah FC semakin tercemar dengan penyokong The Rhinos mula menyerang akaun media sosial peribadi mereka dan melempar kata-kata kurang enak.

"Tidak wajar buat hantaran di media sosial. Isu gaji ini pastinya ada pemain yang bercerita. Mereka kata dah selesai tapi mana bukti.

"Musim ini bukan paling teruk (isu gaji) tapi setiap tahun masalah ini idak boleh dielakkan. Sebelum ini memang ada tapi sekarang banyak tular. Perlu kemukakan bukti jika sudah lunaskan gaji," ujarnya.

rafieee

Rafie (berdiri) menggalas jawatan tersebut bagi membantu meringankan beban Kim Swee. — Facebook/SabahFC

Dalam pada itu, Pengurus Sabah FC, Rafie Robert menjelaskan bahawa tunggakan gaji dialami Sabah FC sudah selesai sebelum perlawanan menentang Terengganu.

Rafie berkata, pihak pengurusan Sabah sudah menyelesaikan isu gaji yang tertunggak selama dua bulan sebelum perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 28 Jun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram