
KETUMPULAN penyudah walaupun memiliki deretan peluang dilihat sebagai punca Sabah FC gagal mara ke separuh akhir Piala FA 2024.
Masalah tersebut jelas mengecewakan pengendali Sang Badak, Datuk Ong Kim Swee.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat, Sabah yang dijangka turun dengan misi balas dendam bukan sahaja gagal mengubah keputusan agregat 0-4 malah terus menjadi belasahan Terengganu FC.
BACA LAGI: Jumpa JDT di semi Piala FA, Nafuzi dedah Sang Kenari sudah tidak sabar
BACA LAGI: Nabil Latpi kurang mengancam, bekas striker Perak antara 3 calon lokal sesuai buat Penang
Sebahagian aksi Ramon (kiri) yang melakukan percubaan ke pintu gawang Sang Penyu. — Facebook/MFL
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu meneruskan momentum cemerlang apabila mudah ke separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Sabah 3-0 dengan agregat 7-0.
Lebih menyedihkan, Sabah yang mahu meraih kemenangan di laman sendiri sebagai hadiah perpisahan buat penyerang Brazil, Ramon Machado turut tidak kesampaian.
Ketajaman penyudah yang ditagih menerusi gandingan Machado, Jafri Firdaus Chew dan S. Kumaahran turut gagal menjelmakan jaringan.
Sebaliknya, skuad Peteh menambah lagi tiga gol menerusi Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Marin Pilj. Tiga gol tersebut mengesahkan kemaraan Terengganu ke separuh akhir yang dijadualkan akan bertemu Selangor FC.
Dalam pada itu, Kim Swee menyifatkan penyudah tumpul menggagalkan usaha Sabah untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam aksi berkenaan.
“Kita gagal menyempurnakan peluang tetapi Terengganu menyempurnakan peluang dengan agak mudah. Jadi, dua gol pada separuh masa pertama telah memadamkan apa yang kita inginkan.
“Kita harus mempersalahkan diri sendiri yang mana saya percaya peluang-peluang yang kita cipta lebih banyak daripada Terengganu punyai. Mereka lebih tajam di depan gol.
“Pada separuh masa, sudah tentu berbeza di mana kita dibolosi lagi oleh satu gol mudah di mana kesilapan kita sendiri,” katanya memetik laporan Makan Bola.
Sabah kini mengalihkan fokus kepada Liga Super di mana mereka akan berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 13 Julai ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram