Hantaran jari tengah bukan untuk fans, pengurus Sabah kongsi mahu letak jawatan tapi dihalang


  • Podium
  • Rabu, 10 Jul 2024

Rafie (berdiri) menggalas jawatan tersebut bagi membantu meringankan beban Kim Swee. — Facebook/SabahFC

NAMA Pengurus Sabah FC, Rafie Robert kebelakangan ini mencuri tumpuan penyokong The Rhinos dengan rata-rata peminat menyerang akaun media sosial peribadinya dan menghamburkan kata-kata kesat.

Tindakan peminat Sabah itu berpunca daripada dakwaan tunggakan gaji yang mencecah enam bulan sehingga dikatakan menjadi faktor terbesar mempengaruhi masalah prestasi Sang Badak bagi perlawanan Piala FA baru-baru ini.

Pasukan Borneo tanah air berkenaan terlepas slot ke separuh akhir Piala FA selepas tersingkir dari kejohanan itu susulan tewas besar 0-7 secara agregat di tangan Terengganu FC (TFC) dalam pusingan suku akhir.

BACA LAGI: OKS-Apek sahkan Sabah bebas isu tunggakan gaji. pihak pengurusan umum akan buat sidang media

BACA LAGI[VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC

Walaupun Rafie sudah tampil mendedahkan isu berkenaan di Instagram peribadinya namun beliau sekali lagi menjelaskan bahawa tunggakan gaji dialami Sabah FC sudah selesai sebelum perlawanan menentang Terengganu.

Rafie berkata, pihak pengurusan Sabah sudah menyelesaikan isu gaji yang tertunggak selama dua bulan sebelum perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 28 Jun lalu.

"Mereka (penyokong) kata punca kekalahan sebab masalah gaji. Saya ingin menegaskan masalah gaji yang dikatakan sehingga mencecah berbulan-bulan sudah selesai sebelum aksi jumpa Terengganu.

"Kita tiada hutang dengan pemain langsung tapi penyokong masih kata pengurusan tipu. Sebab itu Apek (Khairul Fahmi) tampil beritahu mengenai isu itu. Lewat bayar itu biasa sebab semua sedia maklum kos gaji pemain mencecah RM1.7 juta.

"Tiada isu gaji tertunggak sehingga enam, empat dan tiga bulan. Hanya dua bulan dan ia disebabkan isu saluran wang dari penaja. Ia mengambil masa lama. Saya tidak terlibat dalam pengurusan kewangan tapi saya tahu pemain sudah terima gaji," katanya kepada Majoriti.

oksoks

Kim Swee sahkan Sabah telah bebas dari isu tunggakan gaji. — Facebook/SabahFC

Untuk rekod, Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid sebelum ini mendedahkan Sabah FC memperuntukkan kira-kira RM1.7 juta sebulan untuk membiayai gaji keseluruhan pasukan dan ia merupakan antara tanggungan besar skuad The Rhinos.

Menurutnya, masalah berkenaan menyebabkan Rafie terfikir mahu melepaskan jawatan namun dihalang oleh pihak pengurusan dan para pemain yang mempunyai hubungan baik dengan pengurus tersebut.

"Saya tidak pernah post mengenai Sabah sebelum ini tapi perkara ini buat saya tampil di media sosial peribadi. Saya sendiri mahu meletak jawatan semalam (Selasa) tapi dihalang oleh pemain dan pengurusan.

"Pemain banyak pujuk saya untuk terus bersama dan saya memang sentiasa ada untuk mereka," tambahnya yang baru sahaja menggalas jawatan tersebut bagi membantu meringankan beban pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee.

WhatsApp Image 2024-07-10 at 16.04.18

Tangkap layar hantaran kurang menyenangkan itu.

Pengurus Sabah itu tidak bercakap kosong kerana Kim Swee dan Khairul Fahmi selaku wakil pemain telah mengesahkan bahawa pihak pengurusan The Rhinos telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan masalah gaji yang membelenggu kelab.

Dalam perkembangan berlainan, Rafie juga sempat menjelaskan salah faham mengenai satu hantaran kurang menyenangkan yang dimuat naik olehnya di Insta Story peribadinya baru-baru ini.

Hantaran yang memaparkan seolah-olah gambar beruang sambil menunjukkan jari tengah berkenaan membangkitkan perasaan kurang senang penyokong dan mendakwa Rafie menujukan foto tersebut kepada peminat.

"Instagram saya personaliti saya. Ia tujuan peribadi. Itu bukan gambar, itu lagu dan bukan ditujukan bukan untuk penyokong. Penyokong follow bila saya sudah tular. Saya ada hak dan bebas buat apa di Instagram. Tapi itu bukan untuk penyokong," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram