DI sebalik kejayaan Sepanyol yang meraih slot ke final Euro 2024, terdapat insiden pelik berlaku ke atas kapten pasukan tersebut.
Kaptennya, Alvaro Morata dipercayai mengalami kecederaan di lutut selepas salah seorang pengawal keselamatan dilihat tergelincir dan jatuh yang seterusnya terkena pemain tersebut.
Difahamkan, pengawal keselamatan Sepanyol itu secara tidak sengaja mencederakan penyerang Atletico Madrid itu.
BACA LAGI: 'Agak sukar untuk MFL betul-betul laksanakan FFP'
BACA LAGI: Lepas Safee Sali, bekas tonggak NSFC pula bersuara isu gaji Liga M
Insiden tidak sengaja itu berlaku apabila salah seorang peminat berlari memasuki ke padang untuk cuba menyertai sambutan pasukan Sepanyol selepas menewaskan Perancis 2-1 di separuh akhir pada Rabu.
Menerusi video yang tular di laman sosial Twitter (X), seorang anggota keselamatan pasukan atau marsyal dilihat berlari untuk menghalang penyokong itu namun dia tergelincir lalu kakinya merempuh lutut bekas penyerang Chelsea itu.
Sentuhan itu kelihatan kasar dengan kaki Morata kelihatan tersangkut di rumput.
Morata kelihatan berada dalam kesakitan selepas insiden itu dan dia dilihat berjalan terhincut-hincut di atas padang untuk menyertai rakan sepasukannya meraikan kejayaan mereka.
Kini, timbul kebimbangan sama ada kapten Sepanyol itu akan terlepas perlawanan akhir Euro 2024 pada 15 Julai yang mana mereka akan menentang England atau Belanda.
Dalam pada itu, pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, mereka akan memberi kata putus sehingga Khamis sama ada Morata diturunkan atau tidak aksi final nanti.
"Kami tidak fikir ia serius. Kakinya sakit tetapi kami berharap dia akan baik-baik saja," katanya.
Morata mengetuai pasukannya meraih kemenangan 2-1 ke atas Perancis, yang menyaksikan Sepanyol dibantu oleh dua gol yang masing-masing dicetak oleh Lamine Yamal dan Dani Olmo. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram