AFF B-19: Laluan mudah hanya atas kertas, bola itu bulat, kurangkan bercakap — Penganalisis


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Skuad kendalian Juan Torres Garrido ketika dalam sesi latihan dilihat sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Thailand, Singapura dan Brunei dalam Kumpulan C. — Facebook/FAM

"LALUAN mudah mungkin atas kertas sahaja."

Begitulah ungkapan diutarakan oleh penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang beranggapan bahawa pasukan kebangsaan mungkin berdepan kesukaran dalam Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Asean 2024 di sebalik tanggapan bakal berdepan laluan mudah oleh segelintir peminat bola sepak.

Dalam kejohanan yang akan membuka tirainya pada 17 hingga 29 Julai di Indonesia, Malaysia diundi bersama Brunei, Singapura dan Thailand bagi Kumpulan C.

BACA LAGI: Lepak dengan import JDT, Rafael Vitor selangkah ke JDT?

BACA LAGI: Bukan tugas mudah bertemu The Cats, P Maniam akui kualiti Filemon Anyie, bekas winger Pahang

WhatsApp Image 2024-07-09 at 17.27.59

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Muda sebelum berdepan cabaran dalam Kumpulan C. — Facebook/FAM

Menjelang kejohanan berkenaan, Pekan berpendapat bahawa Malaysia berdepan kesukaran untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Laluan mudah mungkin atas kertas sahaja.

"Sebagai contoh, kejohanan Bawah 16 AFF di Indonesia baru-baru ni pun kita yakin ke final tetapi kecundang juga di pusingan awal," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Pekan berharap agar pasukan kebangsaan melipat gandakan usaha mereka agar realistik untuk layak ke peringkat seterusnya.

"Mungkin kadang-kadang keyakinan di mulut itu tidak sehebat usaha dan kerja keras secara keseluruhan.

"Cita-cita setinggi gunung tetapi usahanya hanya setinggi bukit," jelasnya lagi.

WhatsApp Image 2024-07-09 at 20.50.43 (1)

Sesi latihan skuad Harimau Muda menjelang Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Asean 2024. — Facebook/FAM

Menurut Pekan, pasukan kebangsaan tidak seharusnya mengambil mudah cabaran daripada negara seperti Brunei dan Singapura kerana baginya kedua-dua negara tersebut dijangka mencipta kejutan.

Malah, dia berpendapat agar skuad Harimau Muda mampu memberikan saingan dalam kejohanan tersebut dengan menampilkan prestasi cemerlang dalam setiap perlawanan.

"Bola itu bulat, jangan hanya nampak Thailand penghalang kita, entah-entah Singapura pun sukar nak kita tewaskan atau Brunei yang dipandang rendah pula yang memalukan kita.

"Jadi, 'moral of the story', buktikan kehebatan, kurangkan bercakap, lebihkan usaha dan pastikan kemenangan, itu saja," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram