DEWA United mengesahkan telah melepaskan khidmat penyerang sayap, Jose Elmer Portia atau lebih dikenali sebagai OJ Porteria bagi saingan Liga 1 Indonesia musim 2024/2025 yang akan bermula pada Ogos nanti.
Pemain pasukan kebangsaan Filipina yang dibawa masuk oleh Dewa United pada separuh musim Liga 1 Indonesia itu hanya bermain dalam 11 perlawanan domestik dan membantu mencetak tiga gol.
Susulan kesepakatan antara pihak pengurusan Dewa United bersama OJ Porteria, penyokong kelab lamanya iaitu Kelantan Darul Naim (KDN) FC bersedia untuk menerima kehadirannya semula ke dalam pasukan berkenaan.
BACA LAGI: Willian Lira, ex Sri Pahang dan KUFC buktikan tinggalkan Liga M keputusan tepat
BACA LAGI: Kehadiran Khalid Jamlus, Saravanan tak padam persoalan ketiadaan ex-Perak dalam aksi 'friendly'
Pemain yang boleh beraksi di bahagian tengah dan posisi sayap menyerang itu dilabel sebagai salah seorang pemain import terbaik skuad Kijang Hijau pada musim lepas namun khidmatnya sekadar bertahan selama 10 bulan sahaja.
Pemain berusia 30 tahun berkenaan meninggalkan kelab Pantai Timur itu apabila menamatkan kontrak lebih awal menerusi persetujuan bersama dengan KDN FC, yang menyaksikan banyak penyokong kecewa dengan keputusannya.
Penyerang kaki kidal itu menjadi pembelian berbaloi KDN pada musim lalu berikutan dia membuat 25 penampilan dengan menjaringkan tujuh gol dan melakukan tiga bantuan jaringan sepanjang bersama Kijang Hijau.
Rekodnya sebagai penjaring terbanyak kelab berkenana pada musim lalu membuat penyokong memberi saranan agar pihak pengurusan segera kembali menagih khidmatnya bagi memperbaiki mutu bahagian serangan.
KDN FC musim ini sekadar menghuni tempat ke-12 saingan Liga Super selepas hanya meraih satu kemenangan dan selebihnya merekodkan kekalahan. Peranan pemain import, Valdumar sebagai penyerang utama tidak memberikan impak positif.
Bagi membantu KDN FC mengharungi saki baki Liga Malaysia musim ini, OJ Porteria wajar mendapat peluang kedua bagi mengukuhkan jentera serangan pasukan bimbingan Park Jae-hong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
