Pujuk pemain Switzerland lepas tewas, sikap terpuji bek Man United raih pujian


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Shaw menjadi satu-satunya pemain The Three Lions yang tidak tergesa-gesa untuk meraikannya. — Agensi

SELEPAS penalti kemenangan Trent Alexander-Arnold dalam perlawanan lapan terbaik England ke atas Switzerland pada Ahad, Luke Shaw adalah satu-satunya pemain The Three Lions yang tidak tergesa-gesa untuk meraikannya.

Skuad kendalian Gareth Southgate menewaskan Switzerland dengan keputusan 5-3 menerusi penentuan penalti susulan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi lapan terbaik.

Ketika rakan sepasukan Three Lions bergegas meraikan kemenangan penalti Alexander-Arnold di Dusseldorf, Jerman, bek kiri Manchester United itu menuju ke arah bertentangan untuk berjabat tangan dengan pemain Switzerland yang kecewa.

BACA LAGI: 'Michael Owen' Penang harap Harimau Kumbang dapat striker, calon Liga Thailand mula disebut

BACA LAGI: 'Absolute rubbish', ayah nafi ‘ubi muda’ Liverpool dicanang keturunan Malaysia, fans desak tanya ibu

Shaw yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, tidak melakukan sepakan penalti tetapi menyaksikan Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney dan Alexander-Arnold melakukan tugas getir itu.

Ketika kapten Switzerland, Granit Xhaka dan rakan sepasukannya bersedih dengan kekalahan berkenaan, Shaw mendekati dan berjabat tangan dengan beberapa beberapa tonggak Switzerland.

Selesai memujuk pemain lawan, pemain pertahanan berusia 28 tahun berkenaan mengikuti rakan sepasukannya mengelilingi padang bagi memberi penghargaan kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan.

Shaw diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-78 selepas England ketinggalan hasil jaringan Breel Embolo dan ia merupakan penampilan pertama bek kiri Manchester United itu dalam kejohanan Euro 2024.

Selang beberapa minit, pemain sayap muda, Bukayo Saka menjaringkan gol penyamaan pada baki 10 minit terakhir permainan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Kemenangan England juga berkat usaha Jordan Pickford menafikan sepakan penalti pertama Manuel Akanji, untuk menjamin slot ke separuh akhir dan akan bertemu Belanda bagi aksi separuh akhir pada Khamis ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram