Penalti melangit Fadhli Shas singkir Sri Pahang, Penang bakal jumpa Kedah di suku akhir


  • Podium
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Sepakan penalti Fadhli melambung tinggi dan mengenai palang gol dalam sepakan penentuan penalti pada Jumaat. — Facebook/SriPahang

SRI Pahang FC diaibkan di laman sendiri apabila tewas di tangan Penang FC dengan keputusan 3-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 bagi aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Temerloh, Pahang pada Jumaat.

Skuad kendalian Fandi Ahmad menurunkan pemain utama seperti Kpah Sherman dan penyerang sayap, Manuel Hidalgo untuk bahagian serangan namun masih tidak dapat melepasi gawang Penang yang dijaga Sikh Izhan Sikh Azman.

Lebih mengaibkan apabila gawang yang dijaga Zarif Irfan sudah dibolosi seawal minit kelima menerusi cubaan Nabil Ahmad Latpi selepas kelalaian dari pertahanan skuad Tok Gajah.

BACA LAGI: 'Rela kerja kampung gaji RM50, janji keluarga selamat', Faisal Halim sebak di sidang media

BACA LAGI: Mungkin saya perlu berubah jadi sombong — Faisal Halim

Namun, kedudukan Nabil yang diragui ofsaid oleh beberapa pemain Tok Gajah membawa kepada semakan sistem bantuan pengadil (VAR) dan akhirnya pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Amir menafikan gol dari penyerang sayap itu.

Ketegangan juga berlaku antara Kpah Sherman dan pengadil apabila Mohd Hasrol melayangkan kad kuning susulan penyerang berkenaan didapati mengasari kepala Rafael Vitor pada minit ke-17.

Dek gol pertama dinafikan, Nabil seolah-olah melepas geramnya dengan melakukan banyak percubaan ke gawang Tok Gajah dan akhirnya membuka akaun jaringan pertama untuk perlawanan itu pada minit-39.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik separuh masa kedua namun sepanjang 33 minit permainan, masih tiada sebarang percubaan terhasil dengan pertahanan masing-masing pasukan kebal menjaga bahagian belakang.

Memasukkan Mykola Ahpov adalah keputusan tepat dilakukan Fandi apabila pemain kelahiran Ukraine berkenaan berhasil menyamakan jaringan pada minit ke-78 berpunca daripada gerakan mengelirukan dari Manuel Hidalgo.

Selepas perlawanan terikat hingga ke 120 minit, aksi itu diheret ke penentuan sepakan penalti dengan masing-masing pasukan meletakkan pemain terbaik mereka untuk mengambil tanggungjawab berkenaan.

Misi mencari pemenang menerusi jarak dua ela itu bermula apabila Hidalgo menjadi peledak pertama mengambil tanggungjawab untuk Sri Pahang dan sepakan sebelah kirinya memberi gol pertama buat Tok Gajah.

Rafael Vitor turut tenang mencetak gol pertama buat Penang FC walaupun Zarif berhasil bijak membaca arah sepakan dari bek tengah Harimau Kumbang.

Nasib malang buat Mykola apabila Sikh Izhan bijak membacanya dan menepis cubaan dari penyerang import Tok Gajah tersebut, seterusnya memberi sinar buat kem Penang untuk meraih kemenangan.

WhatsApp Image 2024-06-14 at 21.08.30

Nabil (jersi biru) menjadi penjaring gol pertama Penang FC dalam aksi menentang Pahang pada Jumaat. — Facebook/SriPahang

Syamer Kutty pula terus menggembirakan kem Harimau Kumbang dengan tendangan penaltinya, selain tendangan Sergio Aguero turut mengembalikan keyakinan pemain Tok Gajah.

Setelah itu, sepakan tenang Adib Ra'op meletakkan Penang di hadapan dengan keputusan 3-2 sebelum Aleksandar Cvetkovic kembali meletakkan Tok Gajah terikat 3-3. Sri Pahang kembali bernyawa apabila Zarif menepis jaringan Shafi Azswad.

Kegembiraan kem Tok Gajah bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tendangan Fadhli Shas melambung tinggi dan mengenai palang gol. Akhirnya, Penang FC ke pusingan suku akhir selepas tendangan penalti Nabil Latpi menjadi hero Harimau Kumbang.

Selepas ini, Penang akan menentang seteru mereka iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila Sang Kenari menang 5-0 ke atas Bukit Tambun FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram