Saya pelik Pahang ada masalah gaji — Gopi Rizqi


  • Podium
  • Selasa, 02 Jul 2024

Sri Pahang didakwa dihimpit dengan masalah tunggakan gaji yang mencecah lima bulan. — Facebook/SriPahang

KEMELUT tunggakan gaji yang berlaku dalam kem Sri Pahang FC bukan hanya membimbangkan penyokong, malah bekas pemain Tok Gajah turut merasa perkara sama dengan keadaan semasa kelab kesayangan itu.

Episod hitam Sri Pahang memasuki perkembangan baharu apabila difahamkan pasukan Pantai Timur berkenaan didakwa mengalami masalah tunggakan gaji sehingga mencecah lima bulan.

Situasi semasa menimpa Sri Pahang membuatkan bekas pemain Tok Gajah, Muhammad Gopi Rizqi turut tampil melahirkan kebimbangannya dan risau juga masalah berkenaan semakin melarat.

BACA LAGI: Dikhabar bermain 5 bulan tak dapat gaji, pengurusan Sri Pahang terus menyepi

BACA LAGI: Tiga tonggak Sri Pahang luah sedang 'diuji', petunjuk halus alami isu kewangan

Selain berasa simpati, Gopi Rizqi yang pernah bermain bersama Tok Gajah pada musim 2010 hingga 2015 sebenarnya hairan bagaimana Sri Pahang boleh terpalit dengan masalah tunggakan gaji pada tahun ini.

Rasa hairan Gopi Rizqi terhadap itu timbul kerana semua sedia maklum bahawa Sri Pahang FC dimiliki oleh Tengku Muda Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

"Pada zaman saya tak pernah lagi masalah gaji sampai lima bulan. Pelik betul kenapa Pahang boleh ada masalah gaji sehingga lima bulan. Setahu saya Pahang jenis yang konsisten.

"Kalau orang yang tahu pasal Pahang ini, mesti akan tahu Pahang dimiliki oleh golongan kerabat Pahang. Jadi patutnya Pahang tiada masalah pasal gaji," kata Gopi Rizqi kepada Majoriti.

pahang pahang

Gopi Rizqi menyarung jersi Pahang dari 2010 sehingga musim 2015. — Facebook/SriPahang

Dalam pada itu, Gopi Rizqi yang merupakan watak utama Sri Pahang merangkul trofi Piala Malaysia 2013 juga menggesa agar pihak pengurusan menjalankan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Gopi Rizqi berkata, kerjaya sebagai pemain bola dipilih untuk menjadi mata pencarian namun isu tunggakan gaji berkenaan boleh menyebabkan mereka sukar untuk menunaikan keperluan buat keluarga.

"Bagi saya pengurusan pun perlu bayar. Mereka pun nak cari makan, ada keluarga lagi. Kalau tak bayar pun penuh pun tidak apa. Bayar sikit-sikit sahaja.

"Pelik juga kenapa Pahang jadi begitu, sebelum ini tak pernah. Tak pasti juga jika faktor liga dah diswastakan membuatkan Pahang boleh mengalami masalah berkenaan," tambahnya.

WhatsApp Image 2024-07-02 at 14.20.20

Pengurusan Sri Pahang pula sebaliknya masih memilih membungkam dan enggan tampil memberi penjelasan. — Facebook/SriPahang

Untuk info, pemain berusia 34 tahun berkenaan merupakan antara pemain sayap terbaik kelahiran Pahang dalam sejarah sehingga diburu beberapa kelab besar termasuklah Johor Darul Ta'zim (JDT).

Gopi Rizqi merupakan aset penting di sebelah kiri Pahang dari 2010 sehingga musim 2015, dan berpindah ke Selangor setahun kemudian, disusuli Selangor (2016), JDT (2017), Melaka United (2018) serta PDRM FC pada 2019.

Bekas pemain Penang FC berkenaan kini sedang menyarung jersi pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur (KL) Rovers bagi saingan Kejuaraan MBSB Bank 2024/2025.

Namun, kecederaannya dialami membuatkan Gopi Rizqi masih belum tampil dalam sebarang perlawanan pada tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram