'Michael Owen' Penang harap Harimau Kumbang dapat striker, calon Liga Thailand mula disebut


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Tamer meledak lima gol dan satu hantaran dalam 19 perlawanan bersama PT Prachuap. — Facebook

SEJAK Liga Malaysia (Liga M) membuka tirai pada Mei lalu, Penang FC masih bergelut untuk menyelesaikan masalah penyudah mereka susulan Harimau Kumbang belum lagi mendapat penyerang tengah berkualiti.

Isu ketandusan jaringan itu menyebabkan Harimau Kumbang kini hanya mencetak satu gol selepas empat aksi Liga Super dan baru-baru ini perjuangan Penang turut terkandas pada saingan suku akhir Piala FA.

Penang FC terpaksa akur tewas tipis di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 1-0 selepas seri tanpa jaringan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

BACA LAGI: Ultras Penang beri teguran ingat asal usul sokong kelab sendiri

BACA LAGI: 'Absolute rubbish', ayah nafi ‘ubi muda’ Liverpool dicanang keturunan Malaysia, fans desak tanya ibu

Kekalahan berkenaan membuatkan pihak pengurusan dan kejurulatihan Penang dilaporkan bakal mendapatkan beberapa pemain baharu dalam usaha untuk terus memperkukuhkan jentera serangan mereka.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi dengan menyatakan pengendali Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal mengadakan perbincangan bersama pengurusan untuk isu berkenaan.

Tindakan Akmal Rizal itu juga direstui oleh legenda Pulau Pinang, Hasmawi Hassan yang turut menegaskan harap semua pihak membantu pengendali tersebut menyelesaikan masalah penyudah Harimau Kumbang.

isi dalam

Hasmawi (bawah, kanan) ketika mewakili Penang pada suatu ketika dahulu. — Facebook

"Tak semudah itu nak dapatkan penyerang yang baik dalam masa terdekat ini. Jika kita dapat sekali pun, pemain itu mesti memerlukan masa, keserasian dan juga pemahaman dari konteks apa yang Akmal terapkan dalam pasukan.

"Benda ini bukan sesuatu tugas yang mudah untuk Akmal tetapi saya harap semua orang dapat membantu beliau untuk mendapatkan penyerang yang baik bagi menyelesaikan masalah Pulau Pinang," kata pemain yang digelar Michael Owen Pulau Pinang suatu ketika dahulu.

Kebimbangan Akmal Rizal nampaknya tidak lama lagi selesai apabila nama bekas penyerang kelab Thailand, PT Prachuap iaitu Tamer Seyam disebut bakal menyarung jersi pasukan Utara tanah air berkenaan.

Pemain kelahiran Palestin itu baru sahaja meninggalkan PT Prachuap pada Julai lepas dan statusnya yang kini bergelar ejen bebas itu memberi ruang buat pelbagai kelab untuk menyambar Tamer.

Sepanjang bersama PT Prachuap untuk musim 2023/2024, pemain yang mampu beraksi di bahagian sayap itu juga sudah meledak lima gol dan satu hantaran dalam 19 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram