Legenda Harimau Malaya anggap desakan main liga luar tak efisien buat Selangor


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Sebahagian sesi latihan Selangor FC yang dilihat sudah bersedia untuk berdepan cabaran Kuching City aksi suku akhir pertama Piala FA Sabtu nanti. — Facebook/Selangorfc

KEMELUT kontroversi yang melanda pasukan Selangor FC dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kebelakangan ini semakin hangat diperkatakan peminat dan pemerhati sukan tanah air.

Ia susulan penarikan diri skuad Gergasi Merah daripada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Mei lalu ekoran kes simbah asid yang melanda pemainnya, Faisal Halim.

Sebelum ini, skuad Gergasi Merah dikenakan empat hukuman, termasuk denda RM100,000, pemotongan tiga mata Liga Super dan larangan kemasukan penonton aksi Liga Super minggu ke-14 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor nanti.

BACA LAGI: Piala FA: Hilang 4 tonggak utama, Kim Swee masih ada pelan B

BACA LAGI: Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans

See Kim Seng

Legenda bola sepak tanah air, See Kim Seng.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, MFL memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC berikutan tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih 10 Mei lepas.

Dalam kenyataan MFL pada Khamis berkata, ahli lembaga pengarah menggunakan budi bicara untuk membuat keputusan itu sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut MFL, denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000, manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super dan larangan kemasukan penonton ke perlawanan LS minggu ke-14 turut dibatalkan.

Tetapi, pengumuman itu masih belum cukup untuk menenangkan pelbagai pihak yang berasakan Selangor FC lebih wajar meninggalkan Liga M kerana terdapat kemungkinan isu itu berulang.

Bercakap mengenai perkara tersebut, legenda bola sepak negara, See Kim Seng tidak ketinggalan untuk menyuarakan pandangannya mengenai isu tersebut.

Menurutnya, keputusan Selangor sekiranya menarik diri dalam Liga M adalah tidak tepat.

"Selangor tak perlu ambil langkah untuk main di Liga Thailand, Liga Singapura atau mana-mana negara yang dekat.

"Kita kena hormat liga sendiri, hormat negara kita, kenapa tak main liga sendiri dan kenapa nak main luar negara," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, keputusan untuk bermain di liga luar adalah tidak mudah dan memerlukan kos yang tinggi.

"Kalau nak main luar, sudah pasti kos akan berganda, ia bukanlah satu keputusan yang baik.

"Imagine kalau kita main Liga Thailand, setiap kali main, sudah pasti akan terbang ke negara itu, perbelanjaan itu akan berganda," ujarnya.

Begitupun, anak kelahiran Banting yang memulakan karier bersama Selangor FA pada 1984 itu merasakan bahawa amat mustahil kelab Gergasi Merah itu akan menarik diri.

"Tapi saya rasa itu hanyalah ancaman saja dan tak mungkin Selangor mahu main liga luar.

"Banyak perkara perlu dititikberatkan dari segi kos terutamanya.

"Kita juga tahu Selangor antara pasukan yang banyak kali juara dalam Liga M dan bagi saya ia adalah keputusan kurang tepat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram