Awal JDT buat kerja, pemain warisan Itali-Malaysia sah sarung jersi Harimau Selatan


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Danish (kanan) ketika membantu JDT III menang 5-0 ke atas Sabah dalam satu aksi Piala Presiden di Stadium Pasir Gudang. — Facebook/JDT

PASUKAN gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) sentiasa selangkah ke depan dari segala aspek termasuklah merekrut awal pemain warisan yang berada di luar negara untuk memujuk bermain bersama Harimau Selatan.

Tahun-tahun sebelum ini sudah menyaksikan beberapa pemain kacukan tanah air menyarung jersi Harimau Selatan seperti Corbin Ong, Natxo Insa, Matthew Davies, Junior Eldstal dan Hong Wan.

Pencarian pemain warisan Harimau Selatan disambung lagi apabila juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu mendapatkan khidmat 'ubi muda' kacukan Itali-Malaysia, Danish Pesenti.

BACA LAGI: Stadium Shah Alam mula dirobohkan, CEO MBI jamin gangguan minimum seperti bunyi, habuk dan trafik

BACA LAGI: CEO Selangor jawab sebab Gergasi Merah tiada stadium, tak agresif berdialog terbuka

Nama Danish pernah tular seketika apabila laman pencari bakat, Frfuturetalents sebelum ini telah berkongsi tentang identitinya ketika beraksi bersama Arezano FC (Divisyen 6) di Itali pada Januari lalu.

Ketika dikesan oleh laman pencari bakat itu, Danish difahamkan hanya beraksi secara pinjaman bersama Arezano FC daripada kelab asalnya iaitu Vado FC yang bersaing dalam kancah Serie D musim ini.

Pemain berusia 19 tahun berkenaan dilahirkan di Genoa, Itali dan dikesan memiliki darah Malaysia menerusi ibunya yang merupakan warganegara manakala bapanya merupakan orang Itali.

Pendedahan awal Danish dalam bola sepak bermula sebagai pemain Akademi Sampdoria di Serie A selama empat tahun bermula pada usia 8 hingga 12 tahun dan selepas itu menyertai pelbagai kelab di Itali.

Kini, pemain yang beraksi di posisi tengah berkenaan sudah menyarung jersi JDT III sejak awal Jun 2024 ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC bagi saingan Piala Presiden.

Ketika JDT III berjaya merakamkan kemenangan besar 5-0 ke atas Sabah dalam satu aksi Piala Presiden di Stadium Pasir Gudang, Johor, Danish memainkan watak penting di atas padang sebagai perancang tengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram