Keadaan padang tak terjamin, Zainal Abidin anggap Pestabola Merdeka tak semestinya berlangsung di SNBJ


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Momen ketika pemain Tajikistan meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun lepas. — Facebook/FAM

PESTABOLA Merdeka 2024 bakal menyaksikan gelanggang keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur sebagai venue pilihan untuk kejohanan berprestij itu.

Pemilihan stadium tersebut dinyatakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di Facebook berkenaan Pestabola Merdeka pada 1 Julai lalu.

Kejohanan yang akan berlangsung pada 2 hingga 10 September bakal menyaksikan empat negara iaitu Malaysia, Lubnan, Filipina dan juara edisi lalu, Tajikistan membawa misi untuk memburu gelaran juara.

BACA LAGI: 'Aneh dan kebetulan', calon penaja utama Kedah hairan 'diserbu' Kastam, LHDN berturut-turut

BACA LAGI: Enggan episod duka 2023 berulang, Kalamullah harap Kedah muncul semifinalis Piala FA

Zainal Abidin

Beberapa perkara menarik mengenai Pestabola Merdeka dikongsikan pakar sukan, Zainal Abidin. Twitter/Astro Arena

Dalam pada itu, bercakap mengenai kemeriahan Pestabola Merdeka edisi ke-43 itu, pemerhati sukan, Zainal Abidin Rawop berkata, penyertaan negara yang bertanding merupakan aspek penting.

Dalam pada itu, penyokong tempatan digesa agar turun memberi sokongan kepada Harimau Malaya di Bukit Jalil agar juara edisi kali ini milik Malaysia meskipun bakal diundi berdepan negara ranking rendah.

"Untuk mendapatkan kemeriahan Pestabola Merdeka ini, kena tengok pasukan lawan mana yang bertanding.

"Tahun lepas agak kelam-kabut sedikit lebih-lebih lagi tanpa kehadiran dan penarikan diri negara Palestin. Belajar dari kesilapan tersebut, FAM mengambil pendekatan bawa pasukan yang mudah untuk datang.

"Meskipun hanya empat pasukan yang bertanding, kita sebagai penyokong tidak boleh complaint banyak memandangkan semua negara kini mengikut jadual yang sudah dikeluarkan oleh FIFA.

"Jadi, FAM mengambil kesempatan tersebut untuk menganjurkan dan bagi saya, Pestabola Merdeka perlu dianjurkan dengan empat pasukan pun sudah memadai," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-07-05 at 13.15.45

Harimau Malaya terpaksa menelan pahit selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan aksi Pestabola Merdeka 2023. Facebook/FAM

Di samping itu, mengulas mengenai keadaan padang di Bukit Jalil yang kini menjadi topik utama penyokong, pakar sukan berkenaan berpendapat bahawa terdapat stadium lain yang boleh dijadikan sebagai pilihan.

"Kalau ikutkan keadaan SNBJ dalam tempoh tiga empat tahun kebelakangan ini, hanya boleh menganjurkan satu perlawanan satu hari.

"Kalau nak anjurkan dua perlawanan dalam masa sehari, kena tengok keadaan cuaca sama ada baik atau tidak.

"FAM kena bijak dengan menyediakan padang alternatif, Stadium Kuala Lumpur Cheras adalah paling dekat dan ia sesuai untuk mengadakan perlawanan pertama dan SNBJ aksi kedua," jelasnya.

Di samping itu, mengulas lanjut mengenai kritikan yang diterima oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebelum ini mengenai kualiti padang SNBJ ekoran konsert yang diadakan di venue tersebut, Zainal berkata, badan induk bola sepak tempatan perlu mencari alternatif lain.

"Sekiranya PSM nak menganjurkan konsert, FAM kena cari alternatif lain, jangan main di SNBJ, cari stadium atau negeri lain yang boleh menjadi penganjur untuk Pestabola Merdeka.

"Yang paling dekat dengan Lembah Klang adalah Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan yang turut menyediakan padang yang baik walaupun masih menggunakan rumput jenis cow grass.

"Sebenarnya ini terpulang kepada FAM, kalau ada padang yang tak sesuai carilah tempat-tempat lain yang boleh digunakan menganjurkan pertandingan.

"Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pun tak tetapkan yang Pestabola Merdeka semestinya dianjurkan di Bukit Jalil, stadium yang sederhana besar pun boleh diguna pakai," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram