Kerjasama pelbagai pihak wajar elak isu gaji KL City terus berulang — Legenda KL


  • Podium
  • Isnin, 08 Jul 2024

Skuad Warga Kota sekali lagi berdepan isu tunggakan gaji dengan rata-rata daripada pemain merupakan mangsa masalah itu. — Facebook/Kuala Lumpur City

PERKHABARAN mengejutkan diterima daripada kem Kuala Lumpur (KL) City FC selepas kapten pasukan, Paulo Josue membuat pendedahan mengenai nasib dialami pemain.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar tempatan, bintang naturalisasi negara berkenaan masih belum menerima bayaran gaji sejak kali terakhir pada Disember tahun lalu.

Jadi, secara keseluruhan, perancang kelahiran Brazil itu sudah tidak menerima gaji untuk tujuh bulan meskipun menjadi watak utama kelab musim ini.

BACA LAGI: KL City ulangi tragedi Kedah, NSFC, PKNS tersingkir awal Piala FA

BACA LAGI: Selepas meratib soal gaji, Mat Yo kini sah bersama KL City

441243136_18264005242237328_9162770262025886405_n

Paulo Josue mendedahkan masalah tunggakan gaji yang dialaminya ketika ini. — Facebook/Kuala Lumpur City

Situasi terbabit sekali gus menimbulkan persoalan memandangkan KL City FC mencetak kejayaan membanggakan dalam kempen Piala Malaysia 2021.

Ini kerana penyokong mula hairan atas kesukaran pihak pengurusan membawa masuk dana mencukupi, lebih-lebih lagi dengan lambakan pilihan syarikat di ibu kota.

Bagaimanapun, bagi legenda bola sepak KL, See Kim Seng, langkah lebih progresif perlu diambil seandainya mahu masalah sama berulang setiap tahun.

"Sekiranya kita hanya mahu mengharapkan duit kutipan tiket hari perlawanan dan duit tajaan, masih sukar kerana wang diterima tidaklah begitu banyak melainkan daripada syarikat besar.

"Kerajaan negeri pun perlu prihatin dan beri sokongan kerana pasukan utama ini akan menaikkan lagi nama negeri. Namun, jika mereka tak sokong, ini memang sukar," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-07-08 at 5.54.13 PM

Kim Seng percaya semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam isu tersebut.

Masalah kewangan KL City FC bukanlah satu hal baharu kerana sepanjang kempen 2023, isu itu terjadi sehingga kebajikan pemain dan staf pasukan terjejas.

Namun, menjelang musim ini, laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengatakan kesemua tunggakan sudah diselesaikan, sekali gus membolehkan skuad Warga Kota beraksi dalam Liga Super 2024/25.

Tetapi, pengurusan tidak cekap selain kesukaran meyakinkan penaja menyaksikan kemelut itu berulang sehingga membuatkan penyokong semakin muak mengenainya.

Dalam pada itu, Kim Seng turut berkata, kerjasama daripada pelbagai pihak diperlukan untuk membolehkan KL City FC membawa masuk penaja lebih kukuh.

"Cari penaja dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) boleh bantu dapatkan yang lebih baik. Mungkin boleh bertemu badan pembangunan untuk tanggung pemain dan staf pasukan," katanya lagi.

Untuk rekod, Kim Seng merupakan salah seorang bintang dalam KLFA pada penghujung 1980-an dengan kehadirannya dalam benteng pertahanan membantu pasukan itu muncul juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram