[VIDEO] Elak gaya hidup mewah antara petua legenda Harimau Malaya buat bintang muda menyinar


  • Podium
  • Rabu, 22 Mei 2024

Kim Seng (4) memiliki pengalaman cukup mendalam sepanjang bertahun-tahun beraksi dalam dunia bola sepak.

DALAM dunia bola sepak, seorang pemain, terutamanya dalam golongan muda sering mengalami isu ketidakpastian setiap kali menceburi sukan berkenaan.

Antara punca utama adalah ketiadaan seorang senior yang boleh memberikan tunjuk ajar setiap kali mereka berada di atas padang atau di dalam bilik persalinan.

Kesan daripada masalah sedemikian bakal menyaksikan mereka berdepan kesukaran untuk memberikan persembahan terbaik setiap kali diberikan peluang oleh jurulatih.

BACA LAGI: [VIDEO] Piala AFF: Dihidang laluan mudah bikin ekor Harimau Malaya tersenyum riang

BACA LAGI: Kelantan Darul Naim tekad balas kepercayaan penyokong — Rezal Zambry

Meskipun sebahagian besar daripada mereka mahir menyorokkan isu tersebut daripada orang ramai, hala tuju tidak jelas amat mudah untuk dikenal pasti, lebih-lebih lagi daripada bekas pemain sendiri.

Jadi, atas dasar keprihatinan dalam arena bola sepak tempatan, ramai legenda tanah air kadang-kadang tampil memberikan nasihat dan tunjuk ajar buat 'ubi muda' yang masih samar akan perjalanan masing-masing.

Oleh itu, Majoriti dengan kerjasama bekas pemain Harimau Malaya, See Kim Seng tampil menyenaraikan tiga kata-kata panduan buat pemain muda agar tidak berdepan situasi berlayar tanpa nakhoda.

Meskipun pertahanan kental tersebut tidak dikenali meluas, namanya sudah tentu terpahat dalam sejarah bola sepak Kuala Lumpur (KL) selepas menjulang pelbagai kejuaraan.

1. Jangan biarkan wujudnya 'kelompok' dalam kalangan pemain

Salah satu kunci utama dalam bola sepak adalah kerjasama kerana masing-masing perlu memberikan 100 peratus di atas padang tanpa mengira posisi, apatah lagi peranan.

Bagaimanapun, terdapat situasi yang mana keserasian tidak dapat dirasakan dalam pasukan kerana wujudnya kelompok dalam bilik persalinan yang kemudiannya berjangkit ke atas padang.

Situasi sebegini perlu dielakkan memandangkan ia boleh tentu memberi kesan terhadap persembahan dengan persefahaman sukar dibentuk barisan kejurulatihan.

images (1)

KLFA pernah menjadi pasukan paling digeruni dalam dunia bola sepak tanah air.

"Dalam satu pasukan, kalau ada kelompok-kelompok, ini bukanlah satu perkara yang baik. Contohnya, sewaktu saya di KL, kita pasukan ibarat adik beradik sama ada dalam padang ataupun di luar.

"Jadi, kita berkawan memang rapat dan apabila turun beraksi, semangat satu pasukan itu sememangnya kukuh. Tetapi, kalau ada dalam pasukan mempunyai puak, itu tidak bagus," katanya.

Perkara sedemikian sering ditekankan di pentas tertinggi dengan jurulatih ternama sering memastikan pemainnya mempunyai hubungan akrab antara satu sama lain.

2. Buatlah pelaburan lebih awal

Antara masalah sering dialami pemain selepas menamatkan karier masing-masing adalah apabila ada dalam kalangan mereka berdepan isu untuk memastikan kebajikan tersendiri terjaga.

Kegagalan memastikan pendapatan terjamin di samping tidak membuat perancangan kewangan efisien membuatkan mereka terjerumus ke dalam masalah muflis.

Lebih teruk lagi, ada di antara mereka yang bertindak melibatkan diri dalam dunia jenayah kerana sering membiasakan diri dengan gaya hidup mewah.

WhatsApp Image 2024-05-21 at 21.28.59

Kim Seng memberi peringatan jelas buat pemain muda yang masih kabur akan masa depan masing-masing.

Dalam mengelakkan isu sedemikian berlaku, seorang pemain perlu sedar untuk membuat pelaburan ketika masih beraksi menggunakan gaji dimilikinya.

"Kita tidak tahu hari esok dan mungkin anda tidak tahu apakah mahu dilakukan selepas bersara. Sekiranya anda tidak ada simpanan, itu adalah satu masalah.

"Kalau anda miliki peluang untuk simpan duit, anda perlu simpan demi masa depan sama ada melalui pelaburan atau perniagaan, janji anda bersedia," kata Kim Seng.

3. Displin kunci utama

Dalam mana-mana sukan termasuk bola sepak, disiplin sering diketepikan pemain yang beranggapan perkara itu tidak penting dalam menentukan kejayaan dalam karier.

Ini akan menjadikan mereka sering lewat setiap kali sesi latihan, tidak menjaga pemakanan di samping enggan mendengar arahan dan tunjuk ajar pihak kejurulatihan.

Pemikiran sedemikian tidak akan membuatkan mereka mengecapi kejayaan dengan Kim Seng mengingatkan bakat muda menekankan disiplin dalam kehidupan masing-masing.

12473593_730947120375485_4177836057412649547_o

Kim Seng (kanan) pernah diberikan peluang beraksi dalam skuad kebangsaan.

"Untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang baik bukan pada bakat sahaja kerana anda perlu ada disiplin daripada sikap anda di dalam dan di luar padang.

"Pemakanan dan juga rehat, anda perlu jaga ini semua. Kalau anda pemain bagus sekali pun tetapi anda tidak berdisiplin, anda pasti tidak boleh pergi jauh," katanya.

Aspek tersebut sering ditekankan pengendali setiap pasukan setiap kali sesi latihan, namun pemain masih bertanggungjawab atas diri sendiri setiap kali berada di kediaman masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram