[VIDEO] Skuad Georgia disambut ibarat wira, terima pingat kebesaran


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Kemaraan Georgia ke pusingan kalah mati boleh dianggap satu pencapaian cukup membanggakan buat negara kecil tersebut. — Agensi

KEMARAAN skuad antarabangsa Georgia dalam saingan Euro 2024 terhenti di pusingan 16 pasukan terbaik selepas negara itu tewas kepada Sepanyol dengan keputusan 1-4 pada Isnin.

Mereka yang berada dalam Kumpulan F pada awalnya diramal tidak akan layak ke peringkat kalah mati memandangkan mereka tidak pernah layak sejak mengecapi kemerdekaan.

Bagaimanapun, satu kemenangan, satu kekalahan dan satu keputusan seri yang dicatatkan menyaksikan mereka berada di tangga ketiga kumpulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Air mata Ronaldo, Portugal masih ‘bernyawa’ di pentas Euro terakhir

BACA LAGI: Jadi tumpuan Euro 2024, penyerang Hungary tandingan Syihan kini tinggalkan kelab Korea

Kemaraan terbabit diraikan ribuan penduduk Georgia yang teruja menyaksikan skuad bimbingan Willy Sagnol berkenaan dalam kejohanan kali ini.

Namun, harapan untuk mereka terus megah di pentas Euro 2024 tidak kesampaian selepas dimalukan Sepanyol, sekali gus menutup tirai pasukan pada kejohanan kali ini.

Penyingkiran itu bagaimanapun tidak terlalu pahit untuk ditelan kerana Georgia berjaya memberikan kenangan yang pasti sukar dilupakan buat penyokongnya.

Malah, kepulangan skuad The Crusaders itu diraikan dengan meriah apabila ribuan penduduk mereka hadir ke jalanan untuk menyambut hero negara di Tblisi, ibu negara berkenaan.

Presiden Georgia, Salome Zourabichvili turut hadir dalam keraian berkenaan dengan dia menyerahkan pingat penghargaan terhadap pemain dan staf kejurulatihan pasukan.

Menurutnya, sambutan itu sememangnya diharapkan kerana pasukan itu merealisasikan harapan penduduk untuk menyaksikan pasukan bola sepak mereka di pentas lebih tinggi.

Selain mengibarkan bendera Georgia, perarakan bas terbuka turut disediakan dengan pemain mengambil peluang tersebut untuk menyatakan penghargaan masing-masing terhadap penyokong.

Antara yang kelihatan cukup bergembira dengan sambutan diterima ialah bintang pasukan, Khvicha Kvaratskhelia yang turut sama menyanyikan lagu sorakan daripada orang ramai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram