Bapa Son Heung-min disyaki dera pelatih akademi bola sepak


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Pendakwa raya telah menyoal Woong-jung dan dua jurulatihnya di Akademi Bola Sepak Son di Gangwon. — Facebook

BINTANG Tottenham Hostspur, Son Heung-min cukup dikenali sebagai seorang pemain bola sepak yang mempunyai karakter yang baik sama ada dalam padang mahupun luar padang sehingga ramai pemain lain mudah bergaul dengannya.

Dengan reputasi Heung-min, sukar untuk penyokong mencari kontroversi mengenai dirinya sehinggalah kes melibatkan ayahnya iaitu Son Woong-jung baru-baru ini.

Nama bintang Korea Selatan berkenaan terjejas apabila Woong-jung yang juga merupakan pengarah Akademi Bola Sepak Son disoal siasat oleh pendakwa raya berhubung dakwaan penderaan kanak-kanak.

BACA LAGI: [VIDEO] Air mata Ronaldo, Portugal masih ‘bernyawa’ di pentas Euro terakhir

BACA LAGI: Jadi tumpuan Euro 2024, penyerang Hungary tandingan Syihan kini tinggalkan kelab Korea

Memetik laporan media Korea Selatan, pihak pendakwa raya telah menyoal Woong-jung dan dua jurulatihnya di Akademi Bola Sepak Son pada Selasa atas tuduhan bahawa mereka telah mendera seorang pemain muda secara fizikal dan lisan di Gangwon.

Nama Akademi Bola Sepak Son dan Heung-min bertambah buruk apabila salah seorang jurulatih yang terlibat merupakan abang kepada penyerang sayap berkenaan iaitu Son Heung-yoon.

Ibu bapa pemain itu melaporkan Woong-jung, 62, dan dua jurulatih itu kepada polis pada Mac lalu selepas mendapati terdapat kesan lebam di paha anak mereka usai kem latihan di Okinawa, Jepun.

AYAH SON

Woong-jung didakwa mendera seorang pemain muda secara fizikal dan lisan di Gangwon. — Facebook

Kedua-dua jurulatih itu dituduh memukul pemain akademi tersebut, manakala Woong-jung menghadapi pertuduhan mendera pemain terbabit secara lisan atas kesilapan semasa sesi latihan.

Polis wilayah Gangwon memajukan kes berkenaan kepada pihak pendakwaan pada April, dan pendakwa raya memanggil ketiga-tiga jurulatih tersebut buat kali pertama minggu ini.

Ayah Heung-min telah menafikan dakwaan penderaan terhadap dirinya dan jurulatihnya dan dia juga mendakwa bahawa ibu bapa pemain itu telah membuat tuduhan palsu, selain bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram