Lupakan tawaran Indonesia dan Thailand, Selangor wajar jadi pilihan utama Ramon Machado


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jul 2024

Ramon menyumbang 12 gol dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2023.— Facebook/SabahFC

SEBERAPA sayang pun seseorang pemain dengan kelab semasanya, masalah dalam seperti kes tunggakan gaji boleh mendorong mereka bertukar angin dengan menyertai pasukan baharu nanti.

Demikian situasi yang berlaku kepada penyerang import, Ramon Machado selepas masalah tunggakan gaji The Rhinos diduga menjadi faktor terbesar pemain berkenaan dikhabarkan akan meninggalkan Sabah.

Lebih mendukacitakan apabila perlawanan pusingan kedua suku akhir Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) pada Sabtu ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan menjadi perlawanan terakhir tonggak dari Brazil itu bersama Sabah FC.

Pemain berumur 33 tahun dari Brazil itu menjadi antara penyumbang besar di bahagian hadapan Sabah FC apabila menyumbang 12 gol dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2023.

Dengan rekod memberangsangkan bersama Sabah itu, tidak hairan jika Ramon kini dikhabarkan sedang menjadi buruan kelab dari Liga Thailand, Liga 1 Indonesia dan termasuklah pasukan gergasi Liga Super iaitu Selangor FC.

Berdasarkan ura-ura dalam kalangan penyokong, Gergasi Merah dikatakan berminat untuk menerbangkan Ramon ke Lembah Klang dan peluang itu wajar direbut penyerang berkenaan jika ingin terus relevan di rantau Asia Tenggara.

1) Kewangan kukuh

RMS

Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

Seperti yang dilaporkan media tempatan sebelum ini, Sabah sedang mengalami tunggakan gaji sejak awal Jun lalu nampaknya tidak menemui jalan penyelesaian sehingga motivasi pemain juga semakin menurun.

Moral pemain seakan-akan semakin hilang dan menjejaskan permainan Sabah apabila Sang Badak teruk dibelasah 0-4 di tangan Terengganu FC dalam aksi pertama suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat lalu.

Jika dibandingkan dengan Selangor FC, pasukan Lembah Klang itu jelas mempunyai kewangan kukuh apabila belum pernah lagi dilaporkan para pemain Selangor FC dianiayai isu gaji sejak dulu lagi.

Oleh itu, perihal isu gaji sudah tidak menjadi perkara membimbangkan buat Ramon dan boleh menjalankan tugas seperti biasa jika pemain yang pernah beraksi di Liga Azerbaijan itu menandatangani kontrak bersama Gergasi Merah.

2) Misi Asia

RAMON MACHADO

Pengalaman Ramon di Piala AFC boleh digunakan bagi saingan ACL2. — Facebook/SabahFC

Selain mempunyai kewangan yang kukuh, kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) disertai Gergasi Merah pada musim ini juga wajar menjadi pilihan alasan terbesar Ramon ke pasukan kendalian Nidzam Jamil.

Usaha Selangor FC menjadi naib juara Liga Super pada musim lepas melayakkan mereka berentap di kejohanan tier kedua bagi saingan pentas Asia dengan ACL2 bakal memberikan saingan yang berbeza dan lebih mencabar.

Jika diteliti, kesempatan beraksi di pentas gergasi jarang-jarang berlaku dan disebabkan itu, kejohanan ACL2 boleh menjadi platform terbaik untuk Ramon menambah baik portfolio sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Musim lepas, Ramon sudah membuka lembaran baharu dalam hidupnya dengan beraksi di kejohanan Piala AFC dan mencetak dua gol buat Sabah FC sehingga The Rhinos berhasil ke peringkat Separuh Akhir Peringkat Zon.

3) Kekurangan pilihan di barisan serangan

RONNIE

Ronnie merupakan penyerang utama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

Jika ramai berpendapat Ramon akan sukar mendapat minit permainan bersama Selangor dek kedalaman skuad Gergasi Merah, ia hanyalah sekadar mulut-mulut yang mempengaruhi daripadanya menyertai pasukan berkenaan.

Hal ini kerana, Nidzam mengambil pendekatan sering membuat pertukaran pemain dan memberi peluang kepada para pemain untuk mendapatkan minit permainan bagi mengekalkan prestasi mereka.

Bukan itu sahaja, bahagian serangan Selangor juga tidak mempunyai terlalu banyak pilihan lagi-lagi kini dua pemain hadapan mereka iaitu Faisal Halim dan Reziq Bani Hani sedang ditimpa isu kecederaan.

Malah, Ronnie Fernandez selaku penyerang utama Gergasi Merah juga masih belum memberi keyakinan sepenuhnya untuk mengambil tanggungjawab sebagai penggempur utama musim ini.

Meskipun, catatan rekod semasa Ronnie semakin meyakinkan dengan merekodkan empat jaringan secara keseluruhan dalam empat perlawanan namun masih ada kritikan dilempar kepadanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram