Terima kasih Stadium Shah Alam — TMJ


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Tunku Ismail merupakan salah seorang ikon bola sepak yang turut terkesan dengan keputusan merobohkan Stadium Shah Alam.

KEADAAN semasa yang menyedihkan selain perancangan kerajaan negeri untuk melakukan pembangunan menyaksikan Stadium Shah Alam, Selangor terpaksa dirobohkan.

Venue yang amat dikenali dengan kemegahan struktur dan pembinaannya berdepan nasib berkenaan selepas kali terakhir digunakan skuad Gergasi Merah pada 2020.

Bagaimanapun, dengan bumbung dan fasiliti sekitar stadium sudah tidak berada dalam keadaan baik, ia terpaksa dirobohkan dan bakal digantikan dengan stadium lebih canggih dan berfungsi.

BACA LAGI: Stadium Shah Alam mula dirobohkan, CEO MBI jamin gangguan minimum seperti bunyi, habuk dan trafik

BACA LAGI: CEO Selangor jawab sebab Gergasi Merah tiada stadium, tak agresif berdialog terbuka

Shah_Alam_Stadium_aerial_view

Keadaan semasa Stadium Shah Alam yang uzur sebelum dirobohkan.

Keputusan itu pada awalnya menerima bantahan pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan peminat setia Selangor FC kerana Stadium Shah Alam memiliki sejarah tersendiri dalam dunia bola sepak tanah air.

Ia yang digunakan sebagai tuan rumah bagi aksi Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) pada 1997 dan Sukan SEA 2001 pernah menyaksikan zaman kegemilangan skuad Gergasi Merah.

Selain itu, penyokong pasukan tanah air yang lain turut berharap Stadium Shah Alam tidak dirobohkan dan hanya diubah suai demi kenangan masing-masing.

Ini termasuk pemilik Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Idris yang memiliki momen tersendiri di stadium yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu itu.

WhatsApp Image 2024-07-04 at 7.07.03 PM

JDT muncul juara Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam selepas menumpaskan PKNS FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Terima kasih SSA," katanya menerusi satu hantaran di akaun X peribadinya sambil menyertakan sekeping foto memaparkannya di hadapan penyokong skuad Harimau Selatan.

Gambar tersebut difahamkan diambil selepas kejayaan kelab Selatan tanah air berkenaan, namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar memandangkan JDT mempunyai kenangan tersendiri di venue terbabit.

Selain berjaya menumpaskan PKNS FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2016, skuad Harimau Selatan juga pernah menjulang Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 2017 selepas menundukkan Kedah FA.

Malah, pertembungan JDT dan Selangor di venue tersebut tidak pernah mengecewakan kerana penyokong kedua-dua pasukan sukar melepaskan peluang untuk memenuhkan stadium.

Jadi, tidak hairanlah apabila Tunku Ismail sendiri seakan-akan sukar untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Stadium Shah Alam yang berdiri megah bertahun-tahun dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram