JIKA bercakap mengenai e-sukan, pasti orang ramai hanya akan memikirkan golongan anak muda yang menggiatkan diri dalam arena sukan tersebut sama ada sebagai pemain mahupun menjadi jurulatih.
Mengikis stigma berkenaan, Goodday Charge sebagai rakan strategik mengumumkan pembentukan pasukan eMAS iaitu sebuah pasukan e-sukan yang disertai oleh pemain-pemain berusia lebih 50 tahun ke atas.
Pasukan eMAS mendapat sokongan penuh daripada Persekutuan Esports Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records bagi mengukuhkan tempat mereka dalam sejarah negara sebagai pasukan e-sukan senior atau warga emas pertama di negara ini.
BACA LAGI: Selepas 5 tahun kemarau trofi, JDTGBX mahu rampas eMFL Liga Super 2024
BACA LAGI: Asalkan tak sentuh keluarga', Moon Todak berang peminat rosakkan poster
Pengiktirafan eMAS bukan sahaja mencipta sejarah tetapi juga membuka lembaran baharu dalam landskap e-sukan bagi membuktikan bahawa semua peringkat umur boleh menjadi medium yang berkesan untuk menggalakkan kesihatan mental dan fizikal serta perpaduan antara generasi.
Inisiatif yang dipanggil Boomers2Gamers usaha dari Goodday Charge berkenaan menunjukkan bahawa sukan itu boleh mendatangkan banyak kebaikan kepada komuniti gamers dan warga emas.
Bercakap mengenai penglibatan warga emas dalam e-sukan, ketua pasukan eMAS iaitu Trish Lim mengakui bahawa sukan elektronik itu memerlukan persediaan mental yang kuat.
Bukan itu sahaja, warga emas yang ingin bermain e-sukan juga usah khuatir tentang kecederaan kerana e-sukan tidak memerlukan tenaga fizikal bagi memulakan permainan berbanding sukan lain seperti badminton dan bola sepak.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama 10 peserta akhir kempen Boomers2Gamers majlis perasmian memperkenalkan Team eMAS di sebuah pusat beli-belah di ibu kota pada 13 Jun lalu.
"Jika bermain tenis, bola sepak dan badminton, warga emas mungkin mempunyai cedera. Tetapi dengan e-sukan, anda akan baik-baik saja. Di rumah pun anda boleh bermain. Kemudian kita akan mempunyai rakan-rakan dan boleh berbual bersama.
"Dalam sukan ini perlu menyediakan mental yang kuat. Anda perlu mengarah dan berkomunikasi. Anda juga perlu melatih kemahiran dan refleksi anda ketika bermain e-sukan.
"Selalunya kita dengar bila dah berumur hanya bermain golf atau mungkin catur. Tetapi sekarang, kita mempunyai sebuah dunia permainan di depan anda. Anda juga boleh bermain catur di komputer anda. Perkara ini menyeronokkan," katanya kepada Majoriti.
Selain Trish, lima ahli pasukan eMAS adalah Nahar Ludhfi (pemusnah masuk), Ahmad Zamzuri atau Tom (pemusnah masuk kedua), Johan Arifin dan John Yap (sokongan) dan Linda Tee (pemain gantian).
Dalam pada itu, bercakap mengenai peranannya sebagai ketua pasukan, Trish berharap ia akan memberi inspirasi kepada warga emas lain untuk terlibat dalam dunia e-sukan selepas ini.
Pasukan eMAS mendapat sokongan penuh daripada Persekutuan Esports Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
"Kempen ini membuka mata kita bahawa bukan sahaja kita yang sebenarnya berminat dengan permainan ini tetapi kami harap ia akan menginspirasi dan membuka mata orang yang tidak pernah bermain e-sukan.
"Jika anda bertanya kepada saya, sebagai seorang kapten, saya harap dapat menjadi orang pertama menginspirasi orang Malaysia untuk bergabung dengan kami," tambahnya.
Kempen Boomers2Gamers telah mendapat penerimaan yang mengagumkan dengan 298 pemohon dan hanya 10 peserta terbaik akan diberikan latihan selama beberapa minggu, yang menumpukan kepada aspek Kemahiran Terlatih, Strategi, Tahap Kecekapan Fizikal, Kerjasama Pasukan dan Komunikasi.
Setiap individu dipilih oleh bekas atlet e-sukan profesional dengan pengalaman lebih dari 20 tahun, Mohd Syazwan ‘Wanr0’ dan Mohammed Reza ‘Rexa’ berdasarkan kriteria tertentu.
Untuk mengukuhkan tempat mereka dalam sejarah e-sukan Malaysia, pasukan eMAS bersaing dalam empat pertandingan melawan pasukan Counter-Strike profesional Malaysia, HXG.
Pengiktirafan ini dari Persatuan Sukan Elektronik Malaysia dan Buku Rekod Malaysia secara rasmi menandakan mereka sebagai Pasukan E-sukan Warga Emas Pertama Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram