Aksi bertemu TFC di Likas ada kejutan, Ramon Machado dikhabar ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Musim lalu, Ramon meledak 12 gol dalam 17 perlawanan bagi semua pertandingan musim 2023 bersama Sabah FC. — Facebook/ Sabah Football Club

KEM Sabah FC dikhabarkan akan membawa khabar duka menjelang perhitungan kedua Sabah FC menentang Terengganu FC (TFC) dalam aksi suku akhir Piala FA di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Sabtu ini.

Khabar angin mendukakan itu berpunca daripada desas-desus mengatakan The Rhinos terpaksa menelan hakikat apabila pemain importnya, Ramon Machado dilaporkan akan meninggalkan kelab Borneo tanah air berkenaan.

Ura-ura berkenaan semakin meniti di bibir penyokong Sang Badak apabila laman penyokong The Rhinos di laman Twitter mendedahkan bahawa aksi bertemu Terengganu itu akan menjadi perlawanan terakhir Ramon bersama Sabah FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya cinta kontrak, 3 pemain TRW Kelantan pernah bikin penyokong jatuh hati waima sekejap

BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber

"Hadiri perlawanan pada Sabtu ini dan mungkin anda akan pergi dengan bola yang ditandatangani oleh pemain kegemaran anda.

"Anda juga berkemungkinan akan menyaksikan perlawanan terakhir seseorang di Likas. Kami mahu berjumpa anda semua Sabtu ini," ciapan dari laman penyokong, Sabah FC Official di laman X pada Khamis.

Walaupun ciapan ringkas itu tidak datang daripada pihak pengurusan The Rhinos namun sudah ada penyokong yang mula membayangkan khabar angin berkenaan dan Sabah bakal kehilangan penyerang import utama.

Tonggak import kelahiran Brazil berkenaan merupakan penyerang yang memberi impak positif buat Sabah selepas pasukan tersebut sebelum itu dikecewakan dengan kemasukan pemain seperti Jose Embalo pada musim 2022.

ramon kiri

Ramon (kanan) ketika sesi latihan barisan pemain Sabah FC dalam menghadapi saingan Liga Super 2023. — Facebook/ Sabah Football Club

Pemain berumur 32 tahun dari Brazil itu menjadi antara penyumbang besar di bahagian hadapan Sabah FC apabila menyumbang menjaringkan 12 gol dalam 17 perlawanan dalam semua pertandingan musim 2023.

Ramon menjadi pilihan pasukan Sabah di barisan hadapan pada musim lepas selepas mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah bola sepak apabila pernah bermain di Liga Azerbaijan.

Penyokong berpendapat masalah gaji The Rhinos yang masih tidak mempunyai perkembangan terbaharu menjadi punca terbesar Ramon memilih untuk angkat kaki daripada kem Sabah FC.

Masalah dalaman berkenaan juga diduga penyebab Terengganu berhasil membawa bekalan yang cukup selesa apabila meraih kemenangan 4-0 ke atas Sabah FC dalam perlawanan aksi pertama suku akhir Piala FA 2024 yang berlangsung pada Jumaat lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram