HANYA menunggu. Itulah sekadar boleh dilakukan oleh barisan pemain beberapa kelab Liga Super selepas tindakan pihak pengurusan memilih untuk berdiam diri mengenai isu tunggakan gaji.
Saingan Liga Malaysia (Liga M) yang baru bermula Mei lalu dikejutkan dengan khabar angin masalah tunggakan gaji menimpa beberapa pasukan Liga Super seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Sri Pahang.
Jika pihak pengurusan Kedah dan Sabah mengambil pendekatan tidak berselindung mengenai perkara berkenaan, Sri Pahang pula sebaliknya masih memilih membungkam dan enggan tampil memberi penjelasan.
BACA LAGI: Tuduh Pahang hadapi isu gaji, fans Tok Gajah balun page buat dakwaan tak berasas
BACA LAGI: Tiga tonggak Sri Pahang luah sedang 'diuji', petunjuk halus alami isu kewangan
Meskipun tiada pengesahan daripada pihak pengurusan, pendedahan secara halus daripada pemain skuad Tok Gajah di media sosial menceritakan isu di sebalik tabir pasukan Pantai Timur berkenaan.
Ketika ini, tunggakan gaji pasukan Tok Gajah didakwa memasuki bulan kelima dan masalah berkenaan dikhuatiri menjadi lebih teruk jika pasukan pihak pengurusan tidak membuat sebarang tindakan awal.
"Difahamkan pihak pengurusan masih berdiam diri berkenaan isu gaji Sri Pahang FC yang dikatakan hampir memasuki lima bulan. Kalau betul masih tiada update, kasihan dekat para pemain," memetik hantaran dari Flash Sukan di Instagram.
Sikap seolah-olah ingin melarikan diri itu bukan jalan penyelesaian yang patut dilakukan kerana masalah luar padang sebegitu rupa akan menjejaskan persembahan Pahang di saingan Liga Malaysia.
Tangkap layar hantaran Insta Story dari pemain Sri Pahang berhubung dakwaan isu gaji pada Jun lepas.
Buktinya, Sri Pahang gagal untuk melangkah ke pusingan suku akhir Piala FA apabila tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Penang FC selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa tambahan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Jun lalu.
Perlawanan berkenaan berlaku sehari selepas beberapa pemain memberi petunjuk mengenai masalah gaji pasukan itu. Misalnya, penjaga gawang nombor satu Sri Pahang, Zarif Irfan pula membuat hantaran berbentuk sindirian kepada pihak pengurusan yang sering mengelak daripada menjalankan tanggungjawab.
Manakala, Syazwan Andik memuat naik kapsyen 'dua kali raya' yang seolah-olah memberi gambaran bahawa masalah ini berlaku sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lalu dan masih berlaku sehingga perayaan Hari Raya Aidiladha pada 17 Jun ini.
Majoriti sedang mendapatkan respons Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohamed Suffian Awang untuk mengulas lanjut perkara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram