LIGA Malaysia (Liga M) mungkin tidak besar seperti liga negara lain namun bakat segelintir pemain tempatan wajar mendapat tumpuan kerana skil atas padang mereka mirip dengan bintang bola sepak dunia.
Buktinya, beberapa bakat pemain tempatan pernah mendapat perhatian beberapa kelab Eropah terutama selepas mereka berhasil mempamerkan persembahan luar biasa bersama kelab domestik.
Sejarah bola sepak tanah air menyaksikan ada pemain yang menerima tawaran berkenaan seperti Safawi Rasid ke kelab Portugal, Portimonense SC dan Nazmi Faiz juga beraksi di negara berkenaan tetapi dengan kelab SC Beira-Mar.
BACA LAGI: Terlalu cintakan Selangor punca legenda selamba tolak offer kelab gergasi Eropah
BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing
Namun, tidak semua pemain domestik berbuat keputusan sama untuk berhijrah ke kelab luar negara demi mengembangkan karier kerana beberapa bintang bola sepak negara pernah menolak tawaran berharga demi kelab kesayangan.
Walaupun ada suara-suara mengatakan agak rugi menolak tawaran sekali seumur hidup itu namun sentimen sayangkan kelab semasa boleh jadi pengaruh besar pemain kekal setia beraksi di tanah air.
Oleh itu, menyingkap sejarah bola sepak tanah air, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang pernah menolak tawaran kelab luar negara terutamanya Eropah demi kelab kesayangan.
1) Mokhtar Dahari
Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 10 kali ketika bersama Selangor. — Facebook
Mokhtar Dahari yang dikenali sebagai 'Supermokh' adalah salah seorang penyerang terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia dengan karier awalnya bermula untuk pasukan Selangor.
Pada kemuncak kariernya, Mokhtar menerima tawaran untuk beraksi di Eropah, tetapi memilih untuk kekal di Malaysia kerana beliau berpendapat bahawa beraksi di tanah air adalah cara terbaik untuk menyumbang kepada perkembangan bola sepak Malaysia.
Antara pasukan Eropah yang dikaitkan dengan ikon bola sepak tanah air itu ialah dikatakan menerima lamaran untuk menyertai Real Madrid dengan ia dicatatkan di dalam buku berjudul ‘Giving The Game Away’ yang ditulis oleh penulis sukan United Kingdom, Stephen Wagg.
Kesetiaannya kepada negara dan Selangor menjadikan beliau ikon yang dihormati dan diingati sehingga hari ini. Mokhtar mencipta banyak rekod bersama Selangor termasuk menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah liga.
2) Ghani Minhat
Ghani Minhat pernah menarik minat naib juara European Cup 1960, Eintracht Frankfurt. — Facebook
Raja Bola Malaysia, Allayarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat merupakan salah seorang legenda terbesar dan berpengaruh dalam sejarah bola sepak Malaysia sehingga ke hari ini.
Ghani Minhat difahamkan menjadi pemain Malaysia yang pertama ditawarkan beraksi di Liga Perdana Inggeris pada 1962 bersama kelab Cardiff City namun Allahyarham menolak.
Selain Cardiff, Ghani Minhat juga menarik perhatian naib juara European Cup 1960, Eintracht Frankfurt selepas Allahyarham meledak dua gol dalam aksi pasukan itu menwaskan Malaya 4-2 di Stadium Merdeka pada 20 Mei 1962.
Bekas pemain Selangor Rangers itu percaya bahawa menyumbang kepada bola sepak tempatan adalah lebih penting daripada mengejar karier di luar negara.
Keputusannya untuk kekal di tanah air memberi inspirasi kepada banyak pemain muda pada zamannya dan membuktikan bahawa kualiti permainan tidak hanya diukur melalui beraksi di luar negara.
3) Arif Aiman Hanapi
Masa depan Arif Aiman sering menjadi topik perbualan penyokong, yang mana kebanyakan mereka menyarankan agar bintang muda itu beraksi di Eropah untuk menimba pengalaman dan mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.
Namun, keputusan Arif Aiman untuk menolak tawaran ke Eropah adalah satu tindakan yang mencerminkan semangat dua legenda iaitu Ghani Minhat dan Mokhtar Dahari.
Dalam satu kenyataan, Arif Aiman menyatakan bahawa pemain sayap itu ingin terus berbakti kepada kelabnya, Johor Darul Ta'zim (JDT), dan membantu meningkatkan standard bola sepak tempatan.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa Arif Aiman dipercayai sememangnya sudah berada dalam radar sekurang-kurangnya 15 pemerhati bakat yang berpangkalan di Sepanyol selain dikaitkan dengan kelab Liga Jepun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram