Pemain bola perlu jaga gaya hidup, jangan terlalu 'expose' di media sosial elak jadi mangsa jenayah — Shahul Hamid


  • Podium
  • Isnin, 01 Jul 2024

Antara insiden jenayah yang berlaku kepada pemain bola sepak dalam negara sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

DUNIA bola sepak tempatan sekali lagi dikejutkan dengan insiden jenayah selepas pemain import Negeri Sembilan, Mika Junco menjadi mangsa ragut di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mika yang sedang bersiar-siar berseorangan diri telah diragut rantai emas miliknya namun dia berada dalam keadaan selamat dan laporan polis juga sudah dibuat.

Penyerang Negeri Sembilan itu antara pemain terbaharu menjadi mangsa jenayah selepas insiden yang terjadi kepada beberapa bintang bola sepak negara sebelum ini.

BACA LAGI: Penyokong sindir TFC pulang duit RM1.5 juta 'scammer' tapi penaja utama masih berdiam diri

BACA LAGI: The Real Tokong bersuara MFL buat U-turn tanpa surat rayuan Selangor

Sebelum ini, beberapa kejadian yang menimpa pemain bola sepak menyebabkan orang ramai risau 'trend' terbaharu penjenayah yang menyasarkan pemain bola sepak.

Shahul Hamid

Shahul Hamid.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat, ia bukanlah satu 'trend' jenayah yang mungkin secara kebetulan menyasarkan pemain bola sepak.

Beliau beranggapan beberapa kes yang melibatkan pemain bola sepak mungkin hanya Muhammad Faisal Abdul Halim yang dilihat mempunyai motif dendam.

"Kalau dilihat kes yang melibatkan pemain bola sepak sebelum ini ia mungkin secara kebetulan apabila penjenayah itu meragut atau merompak individu yang secara tidak langsung pemain bola.

"Kecuali Faisal (Halim) yang mungkin kita nampak ada kes yang melibatkan dendam, tapi apa pun semua pemain-pemain mereka perlu berjaga-jaga.

"Saya rasa penjenayah tidak tahu pun itu pemain bola dan hanya menyasarkan secara rambang.

"Sebab insiden seperti itu mungkin berlaku di lain-lain tempat, cuma secara kebetulan mereka itu pemain bola.

"Jadi saya tak nampak mereka 'target' pemain bola kecuali Faisal itu sangat ketara," katanya kepada Majoriti.

Shahul turut menasihatkan pemain agar tidak menunjukkan kemewahan dalam media sosial dan sentiasa periksa gaya hidup serta peka dengan pergaulan dengan orang ramai.

"Selain daripada membuat laporan polis, kalau ada ancaman orang cuba sabotaj mungkin pemain kena periksa balik tempat-tempat yang mereka pergi.

"Mungkin dari segi hubungan dan pergaulan sama ada tempat mereka pergi itu selamat atau tidak bagi mereka.

"Selain itu, tidak kisah artis atau pemain bola sepak jangan menujukkan apa-apa kemewahan dalam media sosial.

"Sebab bila anda buat macam itu sekali gus mengundang orang untuk mencuri atau merompak sebab tahu anda orang yang berduit.

"Jadi kurangkanlah apa-apa penglibatan di media sosial kerana ia boleh menjadi ancaman kepada mereka," jelasnya lagi.

Sebelum ini beberapa pemain bola sepak seperti Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Safiq Rahim dan Ahmad Khuzaimi Piee telah menjadi mangsa samun dan pecah rumah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram