Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
MELIHATKAN riak wajahnya selepas perlawanan, dijangkakan tidak banyak soalan yang akan ditanya. Sebaliknya, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, menjawab setiap satu dengan huraian tanpa berselindung.
Seakan-akan masih menahan marah – tiada senyuman, tiada gelak-ketawa melainkan kerutan di dahi -- selepas anak buahnya dimalukan 0-4 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Terengganu pada Jumaat, jurulatih The Rhinos sejak 2001 itu hanya menyalahkan pemain-pemainnya sendiri daripada sebarang faktor lain.
BACA LAGI: Masalah dalaman punca Sabah FC terduduk di Terengganu?
BACA LAGI: Hampir 2 tahun tiada kelab, bekas tonggak Kedah umum gantung but
“Tidak ada alasan di sini. (Kekalahan) ini harus diterima sebagai satu pasukan di mana kita tewas dengan kelekaan kita, kelemahan kita.
“Kita menampakkan pasukan Terengganu lebih baik, terutama apabila gol-gol (Manuel Ott m-9, Ismaheel Akinade m-37, 45 dan Marin Pilj m-42) yang begitu mudah,” katanya dalam sidang media selepas aksi peringkat pertama suku akhir Piala FA itu.
Kekalahan sebesar itu mendorong penyokong Sang Badak menyimpulkan Sabah FC masih dihantui masalah dalaman, dengan ada yang menyalahkannya kepada gaji yang tidak berbayar selama empat bulan yang heboh diperkatakan sebelum ini.
Sebagai perbandingan, Sabah FC yang membelasah Terengganu FC 4-0 dalam aksi Liga Super di SSMZA pada 24 November 2023.
Ia adalah kekalahan terbesar dialami Sang Badak sejak ditundukkan dengan keputusan serupa oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 31 Mac 2023.
Kim Swee akui Sabah tewas kerana kelekaan Sang Badak sendiri. — Facebook/SabahFC
“Saya tak mengambil ini sebagai faktor-faktor lain di mana mereka (pemain-pemain) telah menunjukkan prestasi yang cukup baik sepanjang musim ini mahupun musim lalu dengan banyak faktor.
“Tetapi hari ini kita tewas. Kita harus menerima kekalahan ini dengan kelemahan kita, kelekaan kita. Jadi, kita harus bangkit, itu yang perlu kita lakukan,” katanya.
Merenung kembali aksi berkenaan, Kim Swee seakan-akan bingung dengan hakikat bahawa pasukannya memberi laluan mudah kepada tuan rumah.
“Separuh masa pertama kita dibolosi dengan gol-gol mudah. Ini kelemahan kita sendiri, kelekaan kita sendiri di mana pertahanan tidak bermain sebagaimana yang kita selalu lalui.
“Ini menyebabkan pasukan Terengganu yang mempunyai barisan serangan yang cukup baik di mana mereka menyempurnakan peluang-peluang yang mereka ada.
“Tidak ada risiko (di pihak kami) atau apa yang saya fikirkan ini barisan terbaik di mana mereka telah bermain,” kata Kim Swee.
Antara aksi perlawanan Sabah menentang Terengganu dalam aksi suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat. — Facebook/SabahFC
Malah, keghairahan Sabah FC di laman lawan tersentap oleh gol pendahuluan tuan rumah selepas hanya sembilan minit. Saki-baki semangat melawan Sang Badak terus dilenyapkan oleh tiga gol Sang Penyu dalam tempoh 10 minit terakhir babak pertama.
“Bagi saya, gol awal atau lewat bukan satu masalah tapi kelekaan kita, kelemahan kita di mana kita tidak mengawal keadaan dengan begitu baik. Ini menyebabkan (dibolosi) gol-gol mudah.
“Itu bukan tiga gol yang berada dalam masa lima ataupun 10 minit (tapi) kita harus kekal fokus sentiasa walaupun dibolosi.
“Ya, mungkin kita ambil mudah di mana kita tahu di sebelah kanan di sebelah Akhyar (Rashid) dan juga bek kanan yang Terengganu miliki yang mempunyai kepakaran daripada segi overlapping. Jadi, ini kelekaan kita di sebelah kanan yang menyebabkan kita dibolosi,” tambahnya.
Kepada soalan pasukannya masih memiliki 45 minit kedua untuk merapatkan jurang gol, jurulatih berusia 53 tahun itu yang dua kali mengemudi skuad bawah 23 tahun negara meraih pingat emas dan perak Sukan SEA, masing-masing pada 2011 dan 2017, menawarkan alasan mereka sudah agak terlambat.
“Apabila kita dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, ia sukar. Jika satu atau dua gol kemungkinan berbeza. Peluang-peluang yang kita ada, kita gagal menyempurnakan pada separuh masa kedua.
“Dan ini dah tentu akan menyukarkan lagi apabila kita bermain di Likas (pada 6 Julai),” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee belum bersedia untuk mengangkat bendera putih dan mengalihkan tumpuan semula kepada aksi liga di mana mereka belum tewas selepas tiga perlawanan – seri 0-0 dengan Penang FC, menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-2 dan Kuching City FC 2-1.
Jauh daripada berputus asa, katanya, tumpuan terdekat ialah balik ke Kota Kinabalu untuk membuat perancangan baharu agar mereka mampu bersaing dan cuba mendapatkan gol-gol yang diperlukan.
“Kalau kita tengok jumlah gol agak besar. Kita perlu realistik tetapi seperti yang saya katakan, tak ada yang mustahil. Kalau kita mengikut perancangan kita yang lebih baik, di Kota Kinabalu contohnya, kalau kita mendapat gol awal, kita mendapat gol kedua, dah tentu akan beri banyak motivasi.
“Tetapi itu bukan bermakna kita akan layak dengan dua atau tiga gol tetapi kita perlu memikirkan cara terbaik untuk kita kekal bersaing apabila wisel bermula di Kota Kinabalu,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram