'Liga badut, sarkas' mula penuhi wall peminat


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Peminat bola sepak tempatan ternyata muak dengan drama ditonjolkan Liga Malaysia.

KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan denda berupa wang tunai dan pemotongan mata menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat tempatan.

Tindakan itu diambil gara-gara pendirian skuad Gergasi Merah yang menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mei lalu.

Namun, orang ramai beranggapan keputusan MFL itu tidak adil kerana kelab Lembah Klang itu berbuat demikian selepas pemainnya, Faisal Halim disimbah asid kurang seminggu daripada pertembungan itu.

BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ

BACA LAGI: Selangor kaji saluran, mahu ambil tindakan selepas dihukum MFL

Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai beranggapan hukuman denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata Liga Super itu sukar diterima.

Tidak cukup dengan itu, MFL turut mengumumkan aksi antara Selangor FC dan JDT di Stadium MBPJ, Selangor pada pusingan kedua Liga Super akan diadakan tanpa penyokong kedua-dua pasukan.

Kesemua keputusan berkenaan sudah tentu membuatkan pengikut bola sepak tempatan mempertikaikan pendirian badan pengelola itu yang dilabel tidak mempunyai rasa simpati.

"Perak FC dah boleh tarik diri awal-awal sebelum ditekan dan dikenakan sebarang tindakan atas isu gaji. Bukan boleh percaya dengan MFL ni," kata Mohd Shafiq.

"Liga Sarkas. Jahanam, satu perlawanan JDT pun tidak akan aku tonton musim ini," kata Nadzri Sazali.

"Apa yang tiba-tiba denda Selangor terpaksa bermain menentang JDT tanpa penyokong pula? Dasar sarkas punya liga," kata ROTP.

Selangor FC dalam satu kenyataan mengatakan mereka akan mencari saluran terbaik untuk menghadapi hukuman dikenakan MFL dengan perkara itu sudah tentu akan memberi tekanan terhadap pengurusan kelab.

Tetapi, berdasarkan perkongsian di media sosial, penyokong secara terbuka mahu memberikan bantuan berbentuk wang ringgit dan sokongan buat skuad Gergasi Merah.

Hukuman dikenakan terhadap pasukan bimbingan Nidzam Jamil itu tergelincir ke kedudukan kelima Liga Super dengan enam mata terkumpul setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram